Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

138) STATUS WARISAN NASIONAL DAN WARISAN ANTARABANGSA SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Bukit Tapuh dan Permatang Kuarza yang diangkat sebagai Warisan Nasional dan Warisan Antarabangsa Selangor?

    Langkah awal ke arah pengiktirafan sebagai tapak warisan kebangsaan telah pun dimulakan, pada 26hb Jun 2013, melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menimbang dan meluluskan cadangan pencalonan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

    Bagi maksud itu, Borang Penamaan Sebagai Warisan Kebangsaan (Borang E) telah pun dikemukakan kepada Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara untuk pertimbangan selanjutnya. Kerajaan Negeri Selangor amat berharap agar tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor ini mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Kebangsaan dan seterusnya kita dapat mengorak langkah seterusnya ke arah pengiktirafan Dunia UNESCO. Sehingga kini, dimaklumkan Jabatan Warisan Negara sedang mengeluarkan Notis Niat di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan seterusnya proses-proses berkaitan akan dijalankan.

    Sehingga kini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan telah proaktif untuk menyediakan beberapa penerbitan dan kajian-kajian yang berkaitan bagi membuktikan pengukuhan kepada Nilai Universal Sejagat/ Outstanding Universal Value (OUV) terhadap tapak PKGS ini. Penerbitan dan kajian-kajian tersebut adalah seperti berikut :

    1. Kajian Saintifik Permatang Kuarza Gombak Selangor dengan kerjasama Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
    2. Kajian Penilaian Saintifik Ciri-Ciri Fizikal Menggunakan Teknologi Lidar di Permatang Kuarza Gombak Selangor yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur; dan
    3. Buku ‘Coffee Table’ Permatang Kuarza Gombak Selangor yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada 28hb. September 2015.

    Selaras dengan itu, sebagai tambah nilai dalam usaha murni ini, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi berkaitan juga telah menjalankan beberapa program seperti berikut :

    1. Ekspedisi Permatang Kuarza Gombak Selangor telah diadakan selama empat (4) hari bermula pada 11hb. Februari 2014 hingga 14hb. Februari 2014 yang menghimpunkan lebih 60 pengkaji-pengkaji yang terdiri dari pelbagai bidang berkaitan;
    2. Seminar Pemuliharaan Tapak Semulajadi peringkat Negeri Selangor pada 18hb. November 2014 dengan pembentangan empat (4) kertas kerja;
    3. Pembentangan Kertas Kerja “Geospatializing The Klang Gates Quartz Ridge in Malaysia: A Technological Perspective’’ di Kongres Dunia European Geoscience Union (EGU) di Vienna, Austria pada 12hb-17hb April 2015 bersama JPBD Selangor, JMG dan UTM KL;
    4. Bengkel Penetapan Kriteria Buffer Zone Tapak Warisan Negeri Selangor dengan kerjasama FRIM pada 1hb. Oktober 2015;
    5. Pembentangan Kertas Kerja Penggunaan Teknologi LiDAR Dalam Penentuan Ciri-Ciri Fizikal Dan Risiko Tebing PKGS di Seminar GEO-HERITAGE FORUM Langkawi pada 4hb. November 2015 bersama JPBD Selangor dan UTM, KL; dan
    6. Bengkel Kerangka Awal Pelan Pengurusan dan Pemeliharaan (Conservation and Management Plan, CMP) PKGS pada 26 hingga 27hb. Oktober 2015.

    Sebagai halatuju/‘way forward’ (dengan izin), Kerajaan Negeri telah pun mengenalpasti fasa-fasa perancangan dan perlaksanaan untuk memastikan tapak PKGS mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Kebangsaan dan seterusnya Dunia iaitu dengan mempelbagaikan penerbitan dan kajian bagi menyokong OUV, menyediakan Conservation Management Plan yang komprehensif, meningkatkan program kesedaran dan pendidikan komuniti setempat, menyediakan platform ilmiah (bengkel, sesi dialog, seminar), menggalakkan pembangunan dan penyelidikan dan pembentangan di peringkat antarabangsa, penyediaan DOSSIER dan Tentative List serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Warisan Negara untuk melancarkan proses mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

    Tambahan lagi, menerusi Rancangan Malaysia kesebelas (RMK11) 2016-2020, Kerajaan Negeri Selangor, secara dasarnya telah bersetuju di bawah program Warisan Negeri Selangor dengan mengenalpasti tiga (3) lagi tapak lain yang mempunyai ‘Outstanding Universal Value’ untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan. Tapak-tapak yang dimaksudkan adalah ;

    1. Bandar Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor yang merupakan bandar terancang pertama di Malaysia dengan konsep Bandar Taman yang berpotensi sebagai Tapak Warisan Bangunan Bersejarah;
    2. Bukit Melawati di Kuala Selangor yang menyimpan aset warisan tinggalan sejarah lama berpotensi sebagai Tapak Warisan Bangunan Bersejarah; dan
    3. Bandar Diraja Klang yang mempunyai nilai bangunan bersejarah menunjukkan perkembangan dan pembentukan bandar dan petempatan awal berpotensi juga sebagai Tapak Warisan Bangunan Bersejarah.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memastikan tapak-tapak warisan yang mempunyai nilai terunggul ini akan terus dipelihara dan dipulihara untuk diangkat sebagai pengiktirafan negara dan seterusnya di platform dunia. Tapak-tapak bernilai warisan lama ini harus dikekalkan dan dirancang secara holistik tanpa ada unsur-unsur atau pencerobohan yang boleh mengganggu gugat dan menghilangkan nilai warisan yang telah terbentuk ratusan dan jutaan tahun dahulu. Kerajaan Negeri sangat konsisten dalam hal ini, dan menyeru semua pihak dari pihak Kerajaan mahupun rakyat untuk bersama-sama menghargai dan menjaga khazanah alam semulajadi ini agar tidak hilang dan musnah akibat dari perbuatan kita sendiri.

    Langkah awal ke arah pengiktirafan sebagai tapak warisan kebangsaan telah pun dimulakan, pada 26hb Jun 2013, melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menimbang dan meluluskan cadangan pencalonan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Lampiran

Tiada Lampiran.