Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

149) STESEN BAS

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha terkini Kerajaan dalam menaiktaraf setiap stesen bas di Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa berusaha dalam memastikan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam seperti stesen dan hentian bas di Negeri Selangor adalah tersedia, sempurna dan dalam keadaan yang baik dengan menaiktaraf serta memperbaiki infrastruktur stesen mahupun pondok dan hentian bas yang baru atau sedia ada termasuk penambahbaikan dari segi rekabentuk.

    Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Smart Selangor Delivery Unit sedang melaksanakan projek perintis bagi penyediaan Smart Bus Stop yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Passanger Info Display, Wifi Percuma, CCTV, USB Charging Station, Panic Button dan Air Quality Sensor. Untuk tahun 2018, sebanyak 10 buah Smart Bus Stop telah dan sedang dibina iaitu dua di Shah Alam dan setiap satu di Ampang Jaya, Selayang, Subang Jaya, Kajang, Klang, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Rekabentuk dan ciri-ciri Smart Bus Stop ini adalah seragam dan hampir setaraf dengan negara luar.

    Berdasarkan maklumat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dari tahun 2010 sehingga 2013, sebanyak 1,549 hentian bas telah dibina dan dinaik taraf.

    Penyediaan stesen dan hentian bas oleh PBT diselaraskan dari segi rekabentuk dan warna yang seragam khususnya bagi hentian-hentian bas yang baru dibina, namun pelaksanaan juga tertakluk kepada kemampuan kewangan PBT. Oleh itu, insentif bagi penyediaan hentian bas di sepanjang laluan Bas Smart Selangor telah diberikan kepada PBT sebagai sokongan Kerajaan Negeri dalam usaha penyeragaman dan menaiktaraf serta memperbaiki stesen dan hentian bas yang terdapat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.