Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

22) Strategi Bagi Perpaduan Di Antara Perkauman Dalam Negeri Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan yang semakin kritikal akibat isu-isu perkauman yang berbangkit?

    Kerajaan ketika ini wajar memberikan fokus ke arah mensejahterakan rakyat dengan lebih menekankan kepada aspek pembangunan sosial yang menitikberatkan soal-soal perlunya menghayati serta mengamalkan sepenuhnya prinsip-prinsip Rukun Negara yang beransur-ansur sudah mula dilupakan dalam amalan hidup seharian kita. Ketika ini terdapat isu-isu perkauman yang terjadi, bukan sahaja berpunca daripada kurangnya memahami isi kandungan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ramai dikalangan kita tidak menjadikan Prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup dalam menjalani kehidupan seharian khususnya kehidupan bermasyarakat.

    Walaupun terdapat banyak usaha dibuat menerusi program berunsurkan keharmonian serta integrasi nasional oleh agensi kerajaan atau swasta seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan dan sebagainya, tetapi impaknya masih kurang dirasai dan dijiwai sepenuhnya oleh kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Penghayatan ini turut masih gagal digarap dan dirasai sepenuhnya oleh kalangan pemimpin politik yang menerajui pimpinan negara masa kini.

    Justeru itu, tugas dan tanggungjawab mengukuhkan perpaduan ini seharusnya dipikul secara bersama khususnya  dari golongan pemimpin sehinggalah diperingkat rakyat jelata. Tanggungjawab Kerajaan hari ini adalah untuk cuba memberikan penjelasan kepada rakyat agar segala isu yang membabitkan perkauman dapat dirungkai. Kerajaan akan sedaya upaya berkomunikasi dengan semua pihak yang terbabit dalam menyalurkan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat bagi menyelesaikan semua perselisihan faham. Walaupun kita berbeza dari segi kaum, warna kulit, kebudayaan dan bahasa, namun anggota dan organ dalam badan kita tetap sama. Janganlah kerana mempunyai pendirian yang berbeza kita sanggup lupa bahawasanya kita semua adalah rakyat Malaysia.

    Oleh itu, pemimpin-pemimpin komuniti perlu bersikap realistik ketika mengkaji disebalik isu-isu yang berlaku bagi mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan demi kepentingan agenda sendiri. Sebagai contohnya salah satu pendekatan yang diambil oleh Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional menerusi pertubuhan sukarela iaitu Rukun Tetangga. Rukun Tetangga (RT) adalah jawatankuasa sukarela di peringkat akar umbi dan kawasan kejiranan yang melaksanakan aktiviti-aktiviti pemupukan perpaduan dan pengurusan penyelesaian masalah untuk mencapai kesejahteraan sosial dalam sesebuah komuniti. Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat. Setiap program yang dirancang perlu dimasukkan elemen penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni agar masyarakat setempat sentiasa peka dengan budaya, adat resam dan kehidupan pelbagai kaum yang ada di Malaysia. Sehingga September 2020 di Selangor terdapat sebanyak 1079 Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

    Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mempunyai Mediator Komuniti. Mediator Komuniti adalah pihak ketiga yang berusaha mendapatkan penerimaan pihak-pihak yang terlibat di dalam sesuatu konflik sosial untuk mencari titik-titik persetujuan yang boleh diterima oleh semua pihak utama dengan harapan perhubungan mereka tidak terus merosot, malah bertambah positif. Di Selangor terdapat 75 orang Mediator Komuniti yang telah dilatih dan ditauliahkan untuk menjadi ‘orang tengah’ atau pemudah cara bagi sesuatu sesi mediasi antara dua pihak yang menghadapi permasalahan.

    Sesungguhnya, semua rakyat Malaysia berperanan dalam mengukuhkan perpaduan di Negara ini, bukan hanya meletakkan kepada Kerajaan. Penghayatan Rukun Negara amat penting ditanamkan dalam diri kita agar kita sentiasa ingat bahawasanya kita hidup di Negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya yang perlu kita hormati dan memahaminya demi kesejahteraan dan keharmonian. iaitu menggunakan pendekatan mesyuarat,perbincangan dan menggunapakai  khidmat mediator komuniti menerusi sesi khidmat mediasi bagi menyelesaikan apa jua isu perkauman yang berbangkit bagi merungkai permasalahan sehingga berjaya deselesaikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.