Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

83) STRATEGI INSTITUT WANITA BERDAYA MENCAPAI SASARAN 30 PERATUS WANITA DI SEMUA PERINGKAT PEMBUAT DASAR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi yang dirancang oleh kerajaan melalui Institut Wanita Berdaya bagi mencapai sasaran 30 peratus wanita di dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan di bawah kerajaan?

    Selaras dengan matlamat keempat dalam Pelan Tindakan Dasar Wanita Selangor iaitu mempercepatkan kepimpinan wanita demi visi meningkatkan keupayaan dan sumbangan wanita untuk merealisasikan Selangor yang inklusif, mampan, adil dan makmur, Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah melaksanakan beberapa strategi bagi merealisasikan matlamat tersebut menerusi program dan inisiatif yang dijalankan.
    Antara program yang telah dilaksanakan oleh IWB adalah Persidangan Nasional Gender dan Reformasi Pilihanraya dengan tema “More Women Better Nation”. Persidangan ini bertujuan untuk mempercepatkan penyertaan wanita sebagai pembuat dasar di peringkat nasional dan juga negeri.
    Antara input yang diketengahkan semasa persidangan ini adalah pengenalan kepada Kerusi Tanpa Kawasan (Non-Constituency Seats atau NCS) yang mana sistem ini akan memberi peluang untuk lebih ramai wanita dilantik menjadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Secara ringkas, Kerusi Tanpa Kawasan adalah sistem di mana calon dipilih tetapi tidak mempunyai kawasan secara spesifik dan menjalankan tugas-tugas sebagai seorang ADUN. Dengan pengenalan kepada sistem Kerusi Tanpa Kawasan ini diharap Kerajaan Negeri mampu mencapai 30% minimum kuota wanita menjadi perwakilan.
    Memorandum juga telah diberikan kepada wakil di setiap negeri sewaktu persidangan untuk dibawa pulang bagi memberi penerangan, menjalankan advokasi untuk melaksanakan sistem Kerusi Tanpa Kawasan ini.
    Selain daripada itu, IWB Selangor telah melakukan penyelidikan mengenai penyertaan dan pemberdayaan wanita dalam politik di Malaysia : kes PRU-14 dan selanjutnya yang mana kajian ini dilakukan di lima (5) buah negeri iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Johor dan Sabah. Hasil penyelidikan ini juga telah dibentangkan melalui Seminar Nasional Wanita dan Politik dengan tema “Ke Mana Hala Tuju Politik Negara?” yang telah diadakan pada Januari 2019 yang lalu.
    Hasil utama daripada Seminar Nasional ini adalah satu tindakan untuk mengutarakan syor bagi membincangkan penyertaan wanita dan mempercepatkan lebih banyak kehadiran wanita sebagai pembuat keputusan. Program-program susulan seperti advokasi, pendidikan, latihan dan kesedaran juga akan disusun untuk meningkatkan potensi dan aktiviti bagi memperbanyakkan perwakilan wanita dalam politik dalam masa terdekat.
    Selain daripada itu, pihak IWB juga terlibat secara langsung dalam menyediakan Modul Latihan Pembangunan Kapasiti untuk Penyelia-penyelia Pusat Wanita Berdaya & Program Wanita Berdaya Selangor (WBS). Program WBS ini mensasarkan peserta-peserta terpilih daripada sesi program-program umum dari setiap DUN yang merangkumi modul Kepimpinan, Pengucapan Awam, Pengurusan, Kewangan, Integriti, Latihan Fizikal, Pendidikan Politik dan Pembangunan Sosial. Di akhir program ini, para perserta akan melalui proses penilaian berdasarkan penglibatan mereka sepanjang modul dilaksanakan dan akan dianugerahkan Sijil Wanita Berdaya Selangor daripada Kerajaan Negeri.
    Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor akan sentiasa meneruskan perancangan-perancangan yang substantif untuk memastikan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar mampu mencapai 30% minimum pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.