Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

103) STRUKTUR BAHARU PENGURUSAN AIR NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Jelaskan struktur baharu pengurusan air negeri selepas proses penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air selesai dilaksanakan.

    Pada ketika ini, terdapat empat (4) syarikat yang menjalankan kerja-kerja rawatan air iaitu PNSB Water Sdn Bhd (PNSB, dahulu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB). PNSB Water Sdn Bhd, ABASS dan SPLASH adalah pemegang konsesi yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri manakala KASB telah dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semenjak memulakan operasi pada tahun 2012. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pula merupakan syarikat yang telah diberikan konsesi bagi agihan air untuk seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

     

    Di antara tempoh Oktober 2015 sehingga Mac 2016, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menyelesaikan pengambilalihan pegangan di dalam SYABAS, PNSB, ABASS dan KASB, kecuali SPLASH. Tanpa penyelesaian SPLASH, tarikh kuatkuasa lesen perkhidmatan Air Selangor telah tertangguh. Oleh yang demikian, sehingga hari ini, syarikat-syarikat seperti yang dinyatakan di atas terus menjalankan aktiviti perniagaan seperti sediakala, tetapi sebagai anak syarikat Air Selangor.

     

    Air Selangor yang telah ditubuhkan secara rasmi pada 2014, merupakan anak syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Air Selangor telah ditubuhkan sebagai ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) yang bertanggungjawab bagi pengambilalihan dan penstrukturan semula industri air.

     

    Lesen Air Selangor akan hanya mula berkuatkuasa setelah proses pengambilalihan SPLASH selesai sepenuhnya. Setelah lesen Air Selangor berkuatkuasa, perjanjian-perjanjian konsesi sediada dan lesen KASB akan ditamatkan/dibatalkan; dan Air Selangor akan mengambilalih keseluruhan operasi rawatan dan agihan air dan menjadi operator tunggal bagi perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Lampiran

Tiada Lampiran.