Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

20) SUASANA SELAMAT SELESA UNTUK PELABUR ASING MELABUR DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan menyediakan suasana selamat, selesa untuk para pelabur asing melabur di Selangor?

    Melalui konsep mesra pelabur yang diamalkan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif kepada para pelabur yang melabur di Selangor. Para pelabur yang beroperasi di Negeri sentiasa disantuni melalui program – program lawatan kilang yang dilaksanakan oleh pihak Invest Selangor dan agensi – agensi teknikal yang berkenaan.

    Objektif bagi program lawatan ini bagi mewujudkan hubungan erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan para pelabur yang beroperasi di Selangor. Selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga dapat meninjau permasalahan yang dihadapi oleh para pelabur dan membantu untuk menyelesaikannya.

    Bagi menyediakan kawasan perindustrian yang lebih selesa, selamat dan lebih terurus, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah mewujudkan Industrial Park Management Committee (IPMC) yang bertindak bagi membincangkan dan menyelesaikan isu – isu penyelenggaraan kawasan perindustrian yang dihadapi oleh pihak pelabur.

    Dalam perancangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian yang lebih kondusif dan terurus dimasa hadapan, Kerajaan Negeri telah meluluskan Cadangan Pembangunan Kawasan Perindustrian Berkonsepkan ‘Manage Industrial Park’ di Negeri Selangor. Melalui cadangan konsep pengurusan kawasan industri ini, pihak pemaju kawasan perindustrian bukan sahaja akan membangunkan kawasan tersebut, tetapi pemaju juga akan mewujudkan Industrial Park Manager bagi mengurus senggara kawasan perindustrian tersebut.

    Objektif utama bagi cadangan pembangunan kawasan perindustrian berkonsepkan “Managed Industrial Park” ini adalah seperti berikut;-

     

    1. Menangani isu – isu penyelenggaraan kawasan perindustrian;
    2. Menyediakan lokasi pelaburan yang lebih kondusif dengan kemudahan infra serta persekitaran yang baik;
    • Mempromosikan serta    menggalakkan   pembangunan  di   kawasan   – kawasan perindustrian luar bandar; dan
    • Mengurangkan beban dan tanggungan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyelenggara kawasan – kawasan

     

    Selain itu, cadangan pembangunan kawasan perindustrian berkonsepkan “Managed Industrial Park” ini adalah sebagai langkah untuk penjenamaan semula kawasan-kawasan perindustrian baru yang akan dibangunkan bagi meningkatkan prestasi pelaburan di negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.