Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

99) SUKAN AIR “WATER RAFTING”

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang meningkatkan daya tarikan pelancongan di Hulu Selangor dengan perlepasan air Empangan Sg Selangor yang berjadual bagi memudahkan aktiviti sukan air "water rafting" dijalankan? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan memberi perhatian kepada tarikan produk pelancongan White Water Rafting di Kuala Kubu Bharu (KKB) yang amat popular di kalangan penggemar sukan lasak dan ‘adrenalin junkie’ terutama dari luar negara.

    Kelebihan aktiviti white water rafting di KKB ini adalah dari segi tahap kesukaran atau difficulty level di mana ia adalah satu-satunya di Malaysia yang boleh mencapai Gred 4 berbanding Sungai Slim di Perak yang hanya boleh mencapai tahap kesukaran di tahap Gred 3.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri mengambil maklum di atas kesukaran aktiviti ini dapat dijalankan kerana terpaksa bergantung kepada pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor bagi mencapai tahap kesukaran yang dikehendaki.

    Sebelum ini, pihak UPEN dan Majlis Daerah Hulu Selangor pernah mengadakan perbincangan dengan pihak LUAS – Lembaga Urus Air dan SPLASH – Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor bagi mendapatkan pandangan dan sokongan agar pengeluaran air empangan dapat dilaksanakan secara berjadual. Pelepasan berjadual diyakini boleh membantu operator aktiviti white water rafting dan Tourism Selangor untuk merancang dan mempromosikan aktiviti ini secara aktif.

    Walau bagaimanapun, pihak LUAS tidak dapat mempertimbangkan cadangan pelepasan secara berjadual memandangkan Empangan Sungai Selangor merupakan empangan utama dan paling besar di Negeri Selangor dengan kapasiti 230 juta meter padu dan bertindak sebagai regulating reservior bagi tujuan bekalan air di muka sauk bekalan air.

    Sehubungan dengan itu, LUAS tidak dapat mempertimbangkan cadangan pelepasan air empangan secara berjadual bagi tujuan rekreasi white water rafting berikutan pelepasan air empangan adalah tertakluk kepada keperluan pembekalan air mentah bagi muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) di bahagian hilir.

    Pelepasan air empangan ini juga adalah berdasarkan lengkuk operasi empangan/ dam operating rule curve yang telah ditetapkan tertakluk kepada paras air empangan dengan mengambil kira abstraksi di muka sauk dan juga memastikan baki aliran air di Baraj Sungai Selangor adalah berada pada kadar minimum iaitu sekurang-kurangnya 300 juta liter/hari (JLH) supaya tidak mengganggu sistem hidupan akuatik di hilir sungai tersebut terutamanya hidupan kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

    Oleh yang demikian, operator aktiviti white water rafting ini adalah disyorkan untuk menjalankan aktiviti secara berjadual apabila paras air Sungai Selangor bersesuaian dan dapat dilaksanakan dengan efektif. Mereka juga boleh merujuk kepada paras air semasa Sungai Selangor di web atau aplikasi LUAS terlebih dahulu sebelum aktiviti dilaksanakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.