Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

113) SUKAN SUKMA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan kerajaan negeri untuk sukan SUKMA yang akan datang?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor untuk tahun 2015 sebanyak RM 5 juta untuk persediaan pasukan-pasukan SUKMA akan datang. Peruntukan ini adalah untuk menjalankan program-program latihan harian, latihan hujung minggu dan termasuk latihan pusat. Selain itu juga, persediaan lain adalah untuk menyertai kejohanan-kejohanan sebagai pendedahan dan juga sebagai mengukur tahap penguasaan permainan, bayaran elaun atlit-atlit yang berlatih, program binaan termasuklah bengkel-bengkel, seminar-seminar kepada pasukan untuk menyemarakkan lagi fasa persediaan mereka.

    Pada tahun ini, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor telah mewujudkan Pusat Latihan Daerah (PLD) dengan permulaan sebanyak 3 jenis sukan di setiap daerah. Pusat ini adalah di bawah pengawasan Majlis Sukan Daerah (MSD) dan juga pihak Majlis Sukan Negeri Selangor. Tujuan Pusat Latihan Daerah ini diwujudkan adalah untuk mengembangkan lagi program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

    Selain itu, pada tahun 2014, satu program penumpuan sukan yang dinamakan Program Khas telah diwujudkan dan tujuan ianya ditubuhkan adalah untuk menumpukan kepada atlit-atlit yang menyerlah di acara tertentu untuk diberi penumpuan yang lebih dan intensif.

    Sebanyak 11 sukan yang dipilih dalam program ini dan sukan- sukan tersebut adalah sukan yang menawarkan banyak pingat iaitu, angkat berat, memanah, menembak, olahraga, gimnastik, akuatik, lawan pedang, kanu, mendayung dan wushu.

Lampiran

Tiada Lampiran.