Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

88) SUMBANGAN KERAJAAN KEPADA NGO

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan semua NGO yang telah menerima sumbangan Kerajaan Negeri sejak 2008.

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin di dalam menyalurkan apa jua bentuk bantuan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang dilihat banyak membantu dalam usaha ke arah kebajikan. Justeru itu, Program Sumbangan Kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) adalah satu bentuk program bantuan Kerajaan Negeri dalam usaha membantu NGO-NGO berdaftar di bawah R.O.S (Register of Society) untuk terus melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan membantu menaikkan nama Negeri Selangor untuk terus dikenali sebagai negeri berkebajikan. Di bawah program ini, sumbangan yang diberikan adalah berbentuk cek dan jumlah sumbangan akan ditentukan berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Pemberian Sumbangan Kepada Badan Bukan Kerajaan yang diurusetiakan oleh pihak Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Bermula tahun 2014, had maksimum bagi setiap permohonan NGO adalah sebanyak RM5,000.00 bagi tempoh setahun bergantung kepada objektif pelaksanaan program yang dianjurkan bagi tujuan pengawalan peruntukan sedia ada. Di bawah program ini, kelulusan sesuatu permohonan adalah berdasarkan kriteria kelayakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan dipersetujui Ahli Jawatankuasa seperti berikut :

    • Tujuan penubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mestilah bertujuan kebajikan dan tidak berorientasikan keuntungan.
    • Sumbangan oleh Kerajaan Negeri kepada NGO tidak melebihi RM5,000.00 selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
    • Permohonan yang melibatkan kepentingan NGO dan kurang memberi manfaat kepada masyarakat setempat akan ditolak dan tidak akan dipertimbangkan. Contohnya: Lawatan sambil belajar atau majlis makan malam hanya untuk ahli NGO sahaja.
    • Setiap Badan Bukan Kerajaan (NGO) hanya layak untuk membuat satu permohonan sahaja dalam tempoh setahun.
    • Segala bentuk permohonan yang melibatkan aktiviti keagamaan adalah tidak layak memohon.
    • Permohonan oleh kelab-kelab di bawah Universiti yang menggunakan satu (1) akaun yang sama adalah layak memohon.
    • Permohonan yang dikemukakan oleh DUN/ Parlimen/ JKK/ Pembangunan Luar Bandar (PLB) adalah tidak layak untuk dipertimbangkan.

    Untuk makluman Yang Berhormat Selat Klang, Program Pemberian Sumbangan Kepada NGO mula diwujudkan pada tahun 2011. Sejak awal penubuhan program ini sehingga 2016, Kerajaan Negeri telah membantu sebanyak 636 NGO dengan membelanjakan peruntukan berjumlah RM2,008,490.00. Data penerima-penerima sumbangan di bawah Program Pemberian Sumbangan Kepada NGO dari tahun 2011 sehingga 2016 adalah seperti di Lampiran B.

Lampiran

Tiada Lampiran.