Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

46) SUMBER AIR MENTAH

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan keberkesanan operasi pengepaman air ke Sungai Selangor dan kos yang terlibat.

    Operasi pengepaman air kolam ke Sungai Selangor telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri sebagai langkah untuk memastikan Negeri Selangor mempunyai air mentah yang mencukupi apabila menghadapi musim kemarau kelak.Sebanyak 18 unit pam dengan kapasiti 960 JLH telah ditempatkan di kolam-kolam untuk menjalankan operasi pengepaman air kolam ke Sungai Selangor bagi  membantu meningkatkan kapasiti air Secara tidak langsung, operasi pengepaman ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pelepasan air dari empangan untuk diabstrak oleh loji-loji rawatan air bagi tujuan pemprosesan rawatan air. Sebanyak sembilan (9) kolam-kolam alternatif telah dikenalpasti untuk membantu dalam operasi pengepaman seperti berikut:

    • Kolam Hang Tuah
    • Kolam Kambing Susu
    • Kolam KL-Larut
    • Kolam HORAS
    • Kolam MBI
    • Kolam Timah
    • Kolam Tan Chong

    Pada peringkat awal operasi pengepaman dilaksanakan sekitar Jun 2014, kapasiti pengeluaran air kolam yang diperoleh dari kesemua kolam adalah sebanyak 300MLD sahaja. Namun, dengan perancangan rapi dan pemantauan berkala yang dibuat, keupayan operasi pengepaman telah berjaya mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 800MLD pada 10 Ogos 2014.

    Walaubagaimanapun, sepanjang bulan Ogos 2014, Lembangan Sungai Selangor telah menerima taburan hujan yang  banyak. Oleh  yang  demikian, operasi pengepaman air dari kolam ke sungai telah dihadkan pengeluarannya berikutan hujan yang berterusan telah membantu meningkatkan baseflow sungai. Pada waktu ini, operasi pengepaman air lebihan sungai ke kolam dilaksanakan bagi mengisi kolam takungan untuk digunakan sewaktu musim kering kelak.

    Anggaran kasar bagi kos yang terlibat di dalam keseluruhan operasi pengepaman air sungai adalah sejumlah RM 15 juta merangkumi kos pembelian dan sewaan pam, penggunaan minyak diesel, kos penyenggaraan dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.