Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

39) SUMBER AIR MENTAH

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menubuhkan agensi penguatkuasa khas untuk memantau dan mencegah sumber air agar bekalan air bersih dalam negeri tidak tercemar?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui  Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merupakan agensi pengurusan sumber air Negeri Selangor yang juga merupakan agensi ulung dan perintis kepada pengurusan sumber air negeri. Dengan adanya Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999, LUAS dilengkapi dengan peruntukan perundangan dan penguatkuasaan untuk melaksanakan tanggungjawab serta fungsinya dengan berkesan.

     

    LUAS bermula daripada arahan Jemaah Menteri pada Julai 1997 yang meminta Kementerian Pertanian, seterusnya Kerajaan Negeri Selangor supaya mengkaji cadangan bagi menubuhkan satu badan untuk menguruskan sungai dan sumber air secara bersepadu dengan mengambil Sungai Selangor sebagai projek perintis dan Sungai “Thames” di United Kingdom sebagai model pelaksana.

    Sehubungan dengan itu, penyelarasan peranan dan bidangkuasa antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah dibuat bagi memastikan tidak wujud sebarang pertindihan fungsi dan tanggungjawab serta melancarkan perjalanan badan ini. Lalu LUAS ditubuhkan melalui kelulusan Dewan Undangan Negeri Selangor yang bersidang pada 9 April 1999. Penubuhan LUAS ini dilengkapi dengan sebuah enakmen iaitu Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

     

    LUAS dipertanggungjawab untuk memastikan sumber air negeri, termasuk lembangan sungai, air bumi dan permukaan, tasik, kolam dan bekas lombong, serta pesisiran pantai Negeri Selangor supaya sentiasa berada di dalam keadaan terpelihara. Fungsi dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh LUAS melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dan juga pendekatan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM). Bagi melaksanakan fungsi-fungsi LUAS, pendekatan yang telah digunakan adalah Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (IRBM) dan juga Pelan Pengurusan Bersepadu Pantai (ICM). Aktiviti-aktiviti yang LUAS jalankan melalui pendekatan ini adalah:-

     

    1. Pelesenan dan caj abstraksi sumber air.
    2. Kebenaran bertulis bagi aktiviti-aktiviti pengubahan sumber
    3. Pelesenan pelepasan atau kemasukan bahan pencemar.
    4. Pelesenan navigasi jalan air pedalaman.
    5. Pelesenan pelencongan air bagi janakuasa elektrik.

    LUAS diperkasakan dengan peruntukan perundangan dan penguatkuasaan berdasarkan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999. 17 fungsi utama LUAS berdasarkan Enakmen dapat dirumuskan kepada :-

     

    • Menyelaras perhubungan dan kerjasama pelbagai agensi dalam negeri;
    • Menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, pelan dan projek kerajaan;
    • Menjaga kepentingan negeri dalam hal ehwal sumber air;
    • Pengawalseliaan melalui perlesenan mengenai sebarang kegiatan dan aktiviti yang berhubungan dengan sumber air;
    • Pengawalseliaan melalui penguatkuasaan;

    LUAS juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor bagi menyelaras tindakan kecemasan secara segera dan bersepadu dengan semua pihak terlibat.Jawatankuasa ini juga memastikan semua pihak iaitu ahli-ahli Jawatankuasa mematuhi prosedur dan melaksanakan tindakan jangka masa panjang diambil dengan menyediakan segala kemudahan infrastruktur yang berkaitan bagi menangani masalah tumpahan minyak atau bahan pencemar lain. Jawatankuasa akan menyelaras tindakan kecemasan secara bersepadu dan jangka masa segera dengan semua pihak terlibat semasa kejadian kecemasan berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.