Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

230) SUMBER ALTERNATIF AIR PERCUMA

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah alternatif untuk mendapatkan sumber air alternatif

    Jumlah air terawat yang berupaya di keluarkan oleh 34 loji rawatan air adalah sebanyak 4832 JLH sedangkan jumlah yang berupaya diagihkan oleh SYABAS adalah sebanyak 4436 Angka 4436 JLH ini telah diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan turut dipersetujui supaya keupayaan boleh agih ini disemak dari masa ke semasa bagi menentukan kejituannya. Kekangan utama di dalam membekalkan air terawat kepada pengguna adalah disebabkan oleh kelemahan sistem agihan yang sepenuhnya di bawah kendalian pihak SYABAS.

     

    Taburan hujan tahunan Negeri Selangor berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000—2050) terkini adalah sebanyak 2,190mm. Setelah diambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi, jumlah air larian permukaan adalah 6.38 billion meter padu setahun bersamaan 17,000 juta liter sehari (JLH).

     

    Keperluan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi bekalan air awam adalah 4,037 JLH, pengairan padi adalah 1,973 JLH, pertanian adalah 99 JLH dan penternakan adalah 23 JLH maka berjumlah 6,132 juta liter sehari. 10% bagi keperluan ‘environmental flow’ iaitu 1,700 juta liter sehari. Jumlah keseluruhan keperluan air adalah 7,832 juta liter air sehari.

     

    Ini bermakna Negeri Selangor masih lagi mempunyai 9,168 juta liter sehari air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan, ini termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir dan bekas lombong yang mana sebahagiannya terus mengalir ke laut. Manakala bagi sumber air bumi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

     

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor memandang pada sudut bahawa Negeri Selangor mempunyai jumlah air mentah yang mencukupi berdasarkan kepada data-data yang menunjukkan bahawa jumlah air mentah yang terdapat di Negeri Selangor adalah sebanyak 9,168 juta liter sehari air larian permukaan yang

     

     

     

    masih belum dimanfaatkan. Air mentah yang ada di Negeri Selangor ini bukan hanya tertumpu kepada air yang terdapat di empangan, tetapi juga termasuk air di hilir sungai yang mana pada ketika ini hanya dilepaskan terus ke laut sedangkan kita sepatutnya memanfaatkan air mentah yang tersedia di Negeri Selangor tanpa membiarkan ia terbuang begitu sahaja.

     

    Pada ketika ini terdapat pelbagai teknologi-teknologi seperti ultra filtration, membrane, River Bank lnfiltration, sepatutnya dikaji penggunaannya terlebih dahulu untuk memanfaatkan air mentah yang ada di Negeri Selangor. Jika pendekatan ini dikaji dengan teliti, akan membolehkan seluruh Negeri Selangor menjadi kawasan tadahan sebagaimana di Singapura yang telah merancang dengan baik sehinggalah seluruh Singapura menjadi kawasan tadahan air.

     

    Langkah sedemikian rupa boleh memberi kesan kepada budaya rakyat dalam mengamalkan sikap tidak membazir kepada sumber air sedia ada dan pada masa yang sama memupuk semangat cintakan alam sekitar di mana rakyat akan menjadi lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan sungai-sungai yang merupakan sebahagian dari sumber air mereka.

     

    Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa potensi air mentah sedia ada di Negeri Selangor seharusnya ditingkatkan penggunaannya sebelum keputusan penyaluran air dari Pahang ke Selangor dibuat.

     

    Selain itu, LUAS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air di Negeri Selangor turut mengambil kira beberapa langkah yang perlu di ambil sekiranya berlaku masalah air di Negeri Selangor. Salah satu penyelesaiannya adalah penggunaan sumber air alternatif iaitu menggunakan air permukaan seperti air tasik, lombong dan sebagainya untuk keperluan harian. Sumber air bumi juga merupakan penyelesaian terhadap kekurangan bekalan air di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, sumber air bumi masih belum meluas penggunaannya dan perlu dikomersialkan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.