Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

191) SUMBER BEKALAN MAKANAN

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi meningkatkan tahap sara diri atau self sufficient level (SSL) dalam memastikan sumber bekalan makanan atau food security terjamin?

    Secara dasarnya, Negeri Selangor bukanlah merupakan sebuah negeri yang mampu mengeluarkan hasil makanan yang boleh mencapai seratus peratus bekalan makanan (food security). Ini adalah berdasarkan kepada faktor guna tanah yang amat terhad. Secara keseluruhannya, purata Self Sufficient Level (SSL) Negeri Selangor masih berada pada tahap kurang dari 50% malah bagi beberapa penghasilan pertanian makanan hanya berada pada tahap kurang dari 30% seperti bekalan daging lembu (2.08%), padi (29%) dan sayuran (5%). Peratusan bekalan makanan yang paling tinggi bagi Negeri Selangor adalah seperti daging ayam (69.8%) dan telur ayam (65.2%).

    Bagi memastikan bekalan makanan berada di dalam paras yang selamat, Negeri Selangor perlu mengimport bekalan makanan domestik iaitu dari negeri-negeri di dalam negara serta juga dari luar negara bagi memastikan bekalan makanan mencukupi kepada seluruh rakyat yang berjumlah lebih dari 6 juta orang.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan strategi bagi meningkatkan bekalan makanan di Negeri Selangor. Antara strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut :-

     

    • Membuka lebih banyak kawasan-kawasan pertanian khusus untuk aktiviti pertanian makanan seperti kawasan tanaman, penternakan dan juga akuakultur;

     

    • Memperkasakan lagi pengusaha-pengusaha di sektor pertanian makanan melalui program-program seminar, bengkel dan kursus bagi memberikan lebih banyak maklumat berkaitan dengan penggunaan teknologi-teknologi moden yang boleh meningkatkan hasil di dalam kawasan projek pertanian yang kecil;

     

    • Menarik lebih ramai lagi agropreneur muda untuk terlibat di dalam sektor pertanian melalui program-program seminar dan kursus khususnya di dalam meyakinkan mereka bahawa sektor pertanian boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama melalui kaedah betul seperti projek pertanian persis atau precision agriculture;

     

    • Menggalakkan projek-projek pertanian yang boleh memberikan pulangan tinggi (high value agriculture product) seperti projek penananam berkonsepkan fertigasi;
    • Memberikan insentif-insentif yang berkaitan dengan projek pertanian yang diusahakan seperti bantuan peralatan dan input-input pertanian termasuk bantuan kepada golongan nelayan; dan

     

    • Mempromosikan penggunaan jentera-jentera dan peralatan moden bagi meningkatkan hasil dan dalam masa yang sama mengurangkan kebertangungan kepada tenaga buruh asing;

     

Lampiran

Tiada Lampiran.