Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

16) SYABAS

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Banyak aduan tentang tekanan air yang rendah atau kerap bekalan terputus dan mutu air tak memuaskan oleh Syabas. Apakah punca kepada keadaan ini, tekanan air yang rendah, mutu bekalan yang tak memuaskan harga air yang agak mahal dan lain-lain lagi.?

    Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC).  Paip-paip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil.  Oleh itu, air tidak dapat disalurkan ke premis pengguna dengan cukup menyebabkan tekanan air menjadi rendah.

    Selain dari faktor usia paip, tekanan rendah juga disebabkan oleh kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan populasi penduduk di sesetengah kawasan. Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.

    Dari segi kualiti bekalan air, adalah menjadi obligasi  SYABAS untuk sentiasa memantau supaya kualiti air sentiasa menepati piawaian yang telah       ditetapkan        oleh     Kementerian    Kesihatan            Malaysia.          Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kualiti air kepada pengguna terjejas.  Antara faktor utama adalah disebabkan oleh paip-paip  dalaman pengguna tidak diselenggara dengan baik.  Paippaip rumah pengguna yang biasanya menggunakan jenis paip Galvanise Iron (G.I) menjadi berkarat dan tangki simpanan air mengandungi banyak bahan asing termasuk karat secara langsung menjejaskan kualiti air.

    Selain dari bertanggung jawab untuk memastikan supaya kualiti air sentiasa menepati piawaian yang telah ditetapkan, SYABAS sebagai Pemegang Konsesi bagi mengagihkan air kepada pengguna juga perlu memastikan   bekalan air tidak terputus kepada pengguna.  Namun demikian, ada kalanya terdapat kejadian di luar kawalan berlaku sehingga menyebabkan bekalan air kepada pengguna terputus.  Contoh kejadian di luar kawalan adalah henti tugas loji rawatan air tidak berjadual yang diakibatkan oleh pencemaran air mentah yang terlalu teruk sehingga menyebabkan air mentah tidak boleh dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna. Kejadian ini kerap berlaku di Loji Rawatan Air Salak Tinggi dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi. Ada juga keadaan di mana loji rawatan air menjalankan henti tugas berjadual, dalam keadaan ini pengguna akan dimaklumkan terdahulu sebelum kerja-kerja henti tugas ini boleh dilaksanakan. Henti tugas berjadual ini adalah bagi membolehkan operator loji membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkala ke atas loji.

    Selain dari gangguan bekalan air disebabkan oleh operator rawatan air, ada kalanya bekalan air terputus disebabkan kejadian paip pecah yang berlaku di luar kawalan SYABAS.  Contohnya seperti kejadian paip pecah di kawasan Revolusi Hijau, Sepang disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan lombong pasir yang tidak terkawal. Kejadian paip pecah boleh juga diakibatkan oleh kemalangan di luar kawalan mana-mana pihak.

    Dalam usaha untuk membekalkan air bersih kepada pengguna, air mentah dari sungai perlu dirawat di mana rawatan air ini dilaksanakan oleh operator rawatan air seperti Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).   Kebanyakan sungai-sungai di Negeri Selangor mempunyai pencemaran yang tinggi disebabkan oleh pembangunan guna tanah  tidak terancang dipinggir sungai.  Pencemaran terhadap sungai juga diakibatkan oleh perbuatan membuang sisa industri ke dalam sungai yang dilakukan oleh pemilik industri yang berada di pinggir sungai.  Akibat dari pencemaran yang tinggi ini, sumber air mentah yang perlu diproses menjadi air bersih memerlukan penggunaan bahan kimia yang banyak bagi menghilangkan bau dan segala bentuk kekotoran di dalam air tersebut.  Ini telah menjadikan kos rawatan air sangat tinggi di mana purata kos rawatan air yang dibayar oleh SYABAS kepada operator rawatan air adalah sebanyak RM0.90 bagi satu meter padu. Selain dari kos  bahan kimia, pihak operator rawatan air perlu menanggung kos elektrik yang tinggi di dalam menjalankan operasi rawatan air.

    Melalui Perjanjian penswastaan rawatan air yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan operator rawatan air, Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu, tidak mengeluarkan perbelanjaan bagi membina loji baru seperti Loji Rawatan Air Sungai Fasa 2 dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3. Selain dari kos pembinaan, operator rawatan air juga perlu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air.  Dalam hal ini, operator rawatan air perlu menggunakan perbelanjaan sendiri dan kemudiannya menjual air yang telah dirawat itu kepada Kerajaan Negeri melalui JBAS.  Proses ini berterusan sehingga  JBAS dikorporatkan kepada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) dan seterusnya diswastakan kepada SYABAS.  Segala kos yang ditanggung oleh operator rawatan air akan dibayar oleh SYABAS dan seterusnya dicaj kepada pengguna dalam bentuk tarif air.

    Peningkatan kos  dalam pembelian air terawat dan kos penyelenggaraan telah mengakibatkan kos air bersih yang semakin mahal dan semua kos ini akan dicajkan kepada pengguna dalam bentuk tarif tinggi. Namun demikian, pihak SYABAS sepanjang tempoh konsesi berkuat kuasa tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mengenakan apa-apa tarif selain dari yang telah diluluskan dan digazetkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Justeru itu, bagi pengguna di Negeri Selangor yang sedang menikmati pemberian 20 meter padu air percuma hendaklah sentiasa menggunakan air secara berhemah dan tidak membazirkan air kerana ia akan merugikan semua pihak memandangkan sumber air yang semakin terhad.

Lampiran

Tiada Lampiran.