Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

62) SYARIKAT BEKALAN AIR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah bayaran Kerajaan Negeri untuk membeli 4 buah syarikat bekalan air? Sila berikan harga masing-masing dan jumlah sewa aset tahunan tanggungan Negeri kepada Kerajaan Pusat.

    Penstrukturan industri perkhidmatan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan pengambilalihan kesemua syarikat konsesi rawatan dan bekalan air. Sehingga hari ini, pengambilalihan 100% pegangan ekuiti bagi tiga (3) dari empat (4) syarikat tersebut telah selesai dengan pecahan kos seperti berikut:-

    No. Syarikat Jumlah (RM)
    1. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) 478,750,575.00
    2. Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) 1,117,500,000.00
    3. Titisan Modal (M) Sdn Bhd (TMSB) (pemilik 100% kepentingan Konsortium ABASS Sdn Bhd) 86,184,000.00
      Jumlah Keseluruhan (RM) 1,682,434,575.00

    Keseluruhan kos di atas adalah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB.  Sebagai balasan, Air Selangor selaku operator perkhidmatan bekalan air yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor hendaklah membuat bayaran ke atas sewa pajakan (lease rental) bagi tempoh 45 tahun dengan kadar sewa pajakan sebanyak 5.5 peratus (%) setahun.

    Manakala, bagi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pula, seperti yang telah dihebahkan sebelum ini, kos pengambilalihan berkenaan adalah sebanyak RM2,550,000,000.00 bersamaan dengan RM2.55 billion, dengan RM1.9 billion dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB, di mana tempoh lease rental dan kadar sewa pajakan yang ditetapkan adalah sama seperti bagi pembiayaan yang dibuat sebelumnya.  Baki sebanyak RM650 juta pula akan dibayar secara ansuran selama sembilan (9) tahun dengan menggunakan dana dalaman Air Selangor.

    Secara keseluruhan, jumlah bayaran sewa pajakan tahunan oleh Air Selangor kepada PAAB untuk aset-aset air yang dipegang sebagai kolateral oleh PAAB bagi pembiayaan pengambilalihan 100% ekuiti empat syarikat konsesi tersebut adalah sebanyak RM196.3 juta setahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.