Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

267) SYARIKAT PENYELENGGARAAN BANGUNAN SWASTA

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak pihak MC atau ÔMaintenance CompanyÕ yang gagal melaksanakan tanggungjawab dan menyalahkan pemilik rumah kerana tidak menjelaskan bayaran bulanan hingga mengganggu kelancaran pembersihan oleh mereka. Nyatakan langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah ini memandangkan aduan sedemikian semakin meningkat?

    Memang tidak dapat dinafikan banyak pihak Maintenance Company atau ejen pengurusan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab menyenggarakan harta bersama sehingga mengakibatkan bangunan perumahan kelihatan kotor dan tidak dicat serta berlaku pemotongan bekalan air dan elektrik oleh SYABAS dan TNB. Faktor utama yang menyebabkan ejen pengurusan gagal melaksanakan tanggungjawab menyenggarakan harta bersama adalah kerana mempunyai peruntukan kewangan yang terlalu terhad implikasi daripada peratusan bilangan pembeli  membayar caj termasuk bil air dan elektrik yang rendah.     Justeru itu, bagi memastikan penyenggaraan harta bersama dapat dilaksanakan dengan baik, pembeli-pembeli perlu bekerjasama dengan  ejen pengurusan untuk membuat pembayaran caj termasuk bil air dan elektrik mengikut tempoh yang ditetapkan dalam surat perjanjian jual beli.   Ini bagi membolehkan ejen pengurusan mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menyenggara dan mengurus harta bersama dengan sempurna.

     

    Oleh demikian, bagi menangani isu peranan ejen pengurusan yang gagal dan penggunaan kos penyenggaraan dan pengurusan harta bersama yang optimum, Kerajaan Negeri menggalakkan supaya tanggungjawab berkaitan dilaksanakan sendiri oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) atau ahli majlis Perbadanan Pengurusan (MC).   Melalui penglibatan JMC atau ahli majlis MC secara langsung, segala perbelanjaan dan urusan berkaitan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama dapat dikawal dan ditentukan oleh JMC atau ahli majlis MC berdasarkan keperluan utama pembeli dengan mengambil kira kedudukan kewangan sedia ada.

     

    Sekiranya, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) atau ahli majlis MC tidak dapat dilantik untuk melaksanakan tugas dan kuasa JMB atau MC kerana keengganan pembeli untuk menjadi JMC atau ahli majlis MC, Kerajaan Negeri melalui Pesuruhjaya Bangunan akan melantik ejen pengurusan baru untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 [Akta 663] dan Akta Hak milik Strata 1985 [Akta 318].

     

    Walau bagaimanapun, di bawah peruntukan Akta Kontrak 1950 [Akta 136], pihak pembeli  boleh memfailkan kes ke mahkamah berkenaan kegagalan pemaju atau ejen yang dilantik pemaju menguruskan harta bersama dengan baik sebagai mengingkari kontrak perjanjian jual beli yang telah ditandatangani semasa pembelian rumah pangsapuri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.