Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

239) Tabung Warisan Anak Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran perolehan hasil pendapatan Kerajaan Negeri Selangor dengan pemansuhan Tabung Warisan Anak Selangor?

    Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2008 di mana program ini terbuka kepada anak-anak kelahiran Negeri Selangor yang memenuhi syarat kelayakan. Melalui program ini, setiap peserta yang mendaftar akan menerima Sijil Pelaburan berjumlah RM100.00 di mana tempoh simpanan adalah selama 18 tahun dengan nilai matang simpanan berjumlah RM1,500.00 seorang.

    Bagi membolehkan Kerajaan Negeri merealisasikan komitmen pembayaran masa hadapan (iaitu pada setiap kali peserta mencecah umur 18 tahun), sebahagian daripada peruntukan dana Kerajaan Negeri telah mula diasingkan secara tahunan sebagai persediaan awal bagi menjelaskan komitmen berkenaan pada masa hadapan.

    Setakat ini, jumlah peruntukan yang telah diasingkan untuk tujuan berkenaan adalah sebanyak RM92.5 juta dengan alokasi belanjawan keseluruhan berjumlah RM242.50 juta (bermula tahun 2016 sehingga tahun 2025). Dana ini juga telah disimpan dan dilaburkan dengan baik. Namun begitu, amaun ini masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan amaun komitmen pembayaran manfaat program pada masa hadapan.

    Secara keseluruhannya, program ini telah menerima sambutan yang menggalakkan. Hal ini menyebabkan komitmen dan bebanan Kerajaan Negeri kian meningkat dari tahun ke tahun selaras dengan pertambahan bilangan peserta yang mendaftar.

    Berdasarkan rekod semasa, jumlah komitmen pembayaran manfaat masa hadapan berdasarkan jumlah pendaftaran dianggarkan berjumlah RM548.88 juta yang melibatkan seramai 365,920 orang penerima. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat mengikut tahun pembiayaan matang seperti berikut:-

    Disebabkan peningkatan liabiliti komitmen ini juga, Kerajaan Negeri telah membuat semakan semula di mana anak-anak kelahiran Negeri Selangor tidak lagi didaftarkan sejak 31 Januari 2019. Kerajaan Negeri pada masa ini sedang merangka semula keperluan penjajaran kepada program TAWAS ini bagi mengenal pasti semula keberkesanan dan kos manfaat program secara menyeluruh.

    Dengan penjelasan ini, ia bermaksud tiada hasil tambahan yang diperoleh dan liabiliti ke atas komitmen jangka panjang kepada program masih lagi berterusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.