Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

256) TADBIR URUS AGAMA ISLAM

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah hal ehwal tadbir urus Agama Islam di Selangor berdasarkan undang-undang tubuh negeri?

    KEDUDUKAN ISLAM DALAM BERDASARKAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI

     

    PERKARA     XLVII     UNDANG-UNDANG     TUBUH     KERAJAAN     NEGERI SELANGOR 1959

     

    Agama Islam sebagaimana yang dianuti dalam Negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama Negeri; dengan syarat bahawa semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang yang menganutinya di mana- mana bahagian Negeri ini.

     

    Seterusnya, Perkara XLVII (47) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 memperuntukkan agama Islam hendaklah menjadi agama Negeri tetapi semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang yang menganutinya di mana-mana bahagian Negeri ini.

    Oleh itu, berdasarkan kepada kedua-dua peruntukan di atas, agama Islam diiktiraf dalam undang-undang sebagai Agama Persekutuan dan Negeri justeru kedudukannya adalah lebih istimewa berbanding agama-agama lain.

    Raja sebagai Ketua Agama Islam Negeri

     

    Sebagaimana yang kita maklum, Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(2)

    memperuntukkan:

     

    PERKARA 3 (2) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

     

    Raja adalah sebagai Ketua Agama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

     

    Seterusnya, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 turut memperuntukkan bahawa:-

     

    PERKARA     XLVIII     UNDANG-UNDANG     TUBUH     KERAJAAN     NEGERI SELANGOR,1959

     

    • Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh menyebabkan diperbuat undang-undang bagi maksud mengawal selia hal ehwal agama dan bagi penubuhan suatu Majlis Agama Islam yang dalam Bahasa Inggeris hendaklah dikenali sebagai “Council of Religion of Islam”, untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam semua perkara berhubungan dengan agama

     

    Selaras dengan peruntukan tersebut, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 digubal bagi memperuntukkan bidang kuasa dan tanggungjawab MAIS serta agensi Islam yang lain terhadap agama Islam dan umat Islam di dalam negeri Selangor. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ditubuhkan di bawah seksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berperanan sebagai badan penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan merupakan pihak berkuasa utama selepas DYMM Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam di negeri Selangor kecuali perkara-perkara yang berkenaan dengan penentuan Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan.

    Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 turut memperuntukkan fungsi Majlis Agama Islam Selangor untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam, tanggungjawab dan kuasa-kuasa Majlis dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di dalam Negeri.

    Dalam melaksanakan dasar-dasar dan kuasa-kuasa Majlis, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu agensi di bawah kerajaan Negeri Selangor telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu melaksanakan dasar-dasar dan kuasa-kuasa MAIS.

    Dalam perkara berkaitan pelaksanaan fungsi-fungsi kehakiman Islam dan pentadbiran keadilan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berperanan untuk menasihati DYMM Sultan dalam pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di bawah Seksyen 56, 57 dan 58 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Segala perkara berhubung penubuhan Mahkamah dan pelantikan Hakim- Hakim Mahkamah Syariah perlu dibuat melalui MAIS.

    Selanjutnya, dalam perkara berkaitan Hukum Syarak, DYMM Sultan berkuasa melantik Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Selangor bagi menasihati DYMM Sultan berkaitan dengan semua perkara Hukum Syarak. Selaras dengan

     

    Seksyen 46 EPAINS 2003, MAIS mempunyai kuasa dalam melantik anggota Jawatankuasa Fatwa yang mempunyai kuasa untuk menyediakan fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47 EPAINS 2003

    Kerajaan Negeri dalam pentadbiran agama Islam melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam yang berfungsi sebagai liaison officer di antara MAIS dan Kerajaan Negeri bagi:

     

    1. memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri adalah selari dengan dasar- dasar MAIS;
    2. peruntukan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Mahkamah Syariah digunakan dengan sewajarnya selaras dengan pembangunan umat Islam di Negeri Selangor;
    • mencadangkan dasar/polisi berkaitan dengan kemajuan hal ehwal Islam di Negeri Selangor untuk dipertimbangkan oleh MAIS; dan
    1. membantu MAIS, JAIS, JMS dan JAKESS dalam menjawab persoalan- persoalan berkaitan di dalam Dewan Undangan

    Kesimpulannya, hal ehwal tadbir urus Agama Islam di Selangor berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 diterajui oleh DYMM Sultan dengan dibantu oleh MAIS dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi Kerajaan Negeri iaitu JAIS, JMS dan JAKESS. Pelaksanaan tanggungjawab dan fungsi setiap agensi tersebut diperuntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Lampiran

Tiada Lampiran.