Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

133) Tahap Kebersihan Premis Perniagaan

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan setakat ini bagaimanakah prestasi kerja-kerja pembersihan oleh- KDEB di premis perniagaan.

    Berdasarkan maklumbalas dan pemantauan yang dilaksanakan oleh PBT, prestasi perkhidmatan kerja-kerja pembersihan KDEB di premis perniagaan adalah memuaskan dan purata melebihi 90%.

    Sekiranya terdapat kegagalan di pihak KDEB di dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan, PBT akan mengeluarkan notis tindakan pembetulan untuk tindakan susulan dalam tempoh 24 jam.

    Walau bagaimanapun, jumlah penjanaan sampah yang tinggi dan sangat kerap menyebabkan sukar untuk diselesaikan dan kebanyakan kawasan perniagaan dihuni oleh bukan warganegara. Pihak PBT bersama KDEB telah mengambil beberapa inisiatif dalam merangka beberapa program secara bersama untuk mengatasi masalah di kawasan perniaagaan. Antara perkara yang sedang dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

    1. Penyerahan notis kepada setiap premis perniagaan untuk menyediakan tong sampah Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter bagi setiap premis dalam menangani sampah domestik dan pukal;
    2. Menjalankan promosi dengan mengedarkan risalah informasi dan kesedaran kepada pengusaha dan penghuni warga negara di sekitar kawasan perniagaan;
    3. Memasang CCTV di kawasan hotspot sampah;
    4. Melakukan penguatkuasaan seperti sitaan kenderaan dan kompoun kutu sampah;
    5. Melakukan program kesedaran bersama pengusaha kilang dan program gotong-royong;
    6. Pihak Majlis juga telah menubuhkan ‘Squad Green Volunteers’ yang mana pihak majlis telah melantik masyarakat setempat untuk bersama-sama menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak majlis;
    7. Mensyaratkan setiap premis industri untuk melantik kontraktor sisa pepejal semasa permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan; dan
    8. Memasang papan tanda amaran dan tali amaran di kawasan hotspot sampah.

     

    Di samping itu juga, pihak KDEB juga perlu mempergiatkan lagi pemantauan kerja-kerja pembersihan kerana aduan untuk skop kerja-kerja pembersihan masih tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.