Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

10) TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan baharu Kerajaan Negeri dalam menggalakkan kedatangan pelancong ke Negeri Selangor sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?

    1. Pertanyaan ini akan dijawab bersekali dengan Soalan Bertulis No 79 daripada Y.B. Puan Wong Siew Ki (N 27 Balakong) dan Soalan Bertulis No 178 daripada Y.B. Datuk Rosni binti Sohar (N 05 Hulu Bernam) berkaitan rancangan pelancongan negeri pada tahun 2020 memandangkan tahun 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.

     

    Kempen Melawat Malaysia 2020 merupakan kempen utama pelancongan yang telah dirangka oleh pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia melalui Tourism Malaysia. Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mengambil langkah proaktif menjalinkan kerjasama pintar bersama pihak MOTAC dan Tourism Malaysia bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor serta menggalakkan pembangunan dalam bidang pelancongan.

     

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor telah merancang beberapa pendekatan dan strategi promosi pelancongan bagi menyokong kempen Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan seperti:

     

    1. Meningkatkan Penyertaan Siri Promosi Pelancongan Dalam dan Luar Negara;
    2. Menganjurkan Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip) Yang Lebih Kreatif;
    • Penganjuran Acara Pelancongan Bertaraf Antarabangsa di Negeri Selangor; dan
    1. Memperkasakan Kempen Promosi Pelancongan dan Pengiklanan Pelancongan Negeri.
    2. Penekanan Kepada Segmen Pelancongan Fokus

     

    Perincian Strategi:

    1. Meningkatkan Penyertaan Siri Promosi Pelancongan Dalam dan Luar Negara

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dan UPEN akan memberi perhatian dan kerjasama bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui penyertaan delegasi Negeri Selangor di dalam siri-siri promosi di luar negara seperti World Tourism Mart (WTM) London, ITB Berlin, Arabian Travel Market (ATM) Dubai, dan beberapa lagi yang akan dikelanalpasti oleh pihak MOTAC.

     

    Penyertaan Kerajaan Negeri di dalam siri-siri promosi ini di dalam pameran-pameran di peringkat antarabangsa yang fokus kepada B2B (Business to Business) & B2C (Business to Consumer) adalah bertujuan untuk meningkatkan kedatangan pelawat dan pelancong ke negeri Selangor melalui pendedahan, penjualan pakej pelancongan dan kerjasama yang akan dimeterai di antara Tourism Selangor dan operator pelancongan luar negara.

     

    Kerajaan Negeri juga pada tahun 2020 akan memperkasakan “Sales Mission” mengikut pasaran utama pelancongan Negeri Selangor seperti pasaran Jepun, India dan China. Program “Sales Mission” seperti ini akan dipanjangkan kepada pasaran yang baharu seperti Eropah, Timur Tengah dan Australia.

    Bagi pasaran domestik pula, penyertaan di dalam program expo promosi seperti MATTA Fair, MITA Fair Program Promosi Jelajah Negeri dan Skuad Kembara Sekolah akan diteruskan di dipergiatkan lagi.

    1. Menganjurkan Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip) Yang Lebih Kreatif

    Kerajaan Negeri melalui UPEN dan Tourism Selangor akan bekerjasama dengan pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan di dalam penganjuran FAM Trip bersama media dan operator agensi pelancongan untuk melawat, melihat dan merasai sendiri pengalaman produk-produk pelancongan yang berpotensi di Negeri Selangor. Pendekatan kaedah FAM Trip yang lebih kreatif dan bersahaja dengan penyertaan Media Influencer serta Key Opinion Leader (KOL) diyakini akan memberi liputan, impak dan pulangan yang lebih besar kepada Kerajaan Negeri.

    • Penganjuran Acara Pelancongan Bertaraf Antarabangsa di Negeri Selangor

    Bagi perancangan pelancongan tahun 2020, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menyusun kalendar penganjuran acara pelancongan yang boleh disertai oleh pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang Tahun 2020.

    Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri turut menyasarkan beberapa penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa yang akan dianjurkan pada tahun 2020 akan memberi impak kepada keseluruhan kedatangan pengunjung domestik dan luar negara.

    Antara acara pelancongan yang akan dijalankan adalah seperti Selangor International Indigenous Art Festival 2020, Malaysia Women Marathon 2020, Selangor TwinCity Marathon 2020, Tourism Selangor Golf Championship 2020, Selangor Raja Muda International Regatta 2020, Golf Open 2020, Retromania Gathering, Wings of KKB 2020 dan banyak lagi.

    Kerajaan Negeri juga amat bertuah dan akan memberikan kerjasama di dalam penganjuran acara Super GT Malaysia 2020 di SIC Sepang pada 17 & 18 Julai 2020 di mana ia merupakan satu-satunya perlumbaan Super GT yang dianjurkan pada waktu malam.

    1. Memperkasakan Kempen Promosi Pelancongan dan Pengiklanan Pelancongan Negeri.

    Bagi memastikan impak dan tumpuan industri pelancongan negeri terus dipacu, Kerajaan Negeri komited akan melancarkan kempen Tahun Melawat Selangor 2021 di atas kesinambungan kempen Melawat Malaysia 2020.

    Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan memperkasakan kempen pengiklanan di media cetak dan elektronik di peringkat domestik dan antarabangsa seperti

    • Pengiklanan billboard ‘unipole’ di 5 lokasi strategik termasuk Langkawi, Penang, Melaka, Johor Bharu dan Singapura,
    • Pengiklanan Digital Out of Home di tujuh (7) lokasi strategik termasuk KLIA, KLIA2, KKIA, ETS, BTS, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan Lebuh raya Persekutuan,
    • Pengiklanan Digital di KLIA TV selama 12 bulan,
    • Pengiklanan di pesawat AirAsia, MasWing atau Firefly termasuk vessel body wrap dan internal compartment wrap untuk 12 bulan; dan
    • Promosi media sosial termasuk Facebook, Instagram, Google, serta WeChat dan Weibo dalam bahasa asing bagi segmen pasaran luar negara untuk 12 bulan.

    Perancangan aktiviti promosi ini akan diperincikan mengikut kesesuaian dan kemampuan kewangan semasa bagi memastikan kempen promosi pelancongan mempunyai nilai pulangan ROI (Return of Investment) yang tinggi dan berkesan.

     

    1. Penekanan Kepada Segmen Pelancongan Fokus

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri telah mengenal pasti beberapa segmen pelancongan yang mempunyai potensi dan kekuatan yang tersendiri bagi menarik lebih banyak pelancong berkunjung dan melawat ke Negeri Selangor. Antara segmen pelancongan tersebut adalah seperti berikut:-

     

    • Pelancongan Sukan Golf
    • Pelancongan Perubatan dan Kesihatan (Medical & Wellness)
    • Pelancongan Cruise (Kapal Persiaran Mewah)

    Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk memperkasakan serta menjenamakan Negeri Selangor sebagai pusat pelancongan golf utama negara. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan dan sokongan kepada penganjuran kejohanan golf  bertaraf antarabangsa yang dijangka akan memberi impak yang lebih besar dalam merancakkan industri pelancongan negeri.

    Kerajaan Negeri juga akan memberi fokus kepada aktiviti promosi pelancongan  perubatan dan kesihatan dengan kerjasama MHTC (Malaysia Healthcare Tourism Council) dalam beberapa penganjuran program promosi tempatan mahupun antarabangsa seperti pameran expo pelancongan, FAM Trip dan Majlis Anugerah.

    Selari dengan agenda Klusterisasi Ekonomi Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri juga akan memberikan fokus terhadap pelancongan pelayaran mewah (Cruise Tourism) yang telah dikenal pasti di bawah Kluster Pelabuhan dan Maritim. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina Pusat Informasi Pelancongan (TIC) di BCC, Klang pada tahun 2020 yang dijangka akan memberi liputan, pendedahan dan nilai tambah kepada industri pelancongan negeri untuk jangka masa panjang.

Lampiran

Tiada Lampiran.