Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

39) TAMBAHAN PERUNTUKAN PROGRAM KISS

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah peruntukan dalam program KISS memandangkan program ini mendapat sambutan diluar jangkaan serta masih ramai yang perlu dibantu?

    Sejak pelancaran Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pada 22 Januari 2018 di Permatang Kuala Selangor, program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada rakyat Selangor dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula telah didatangi oleh rakyat setempat yang ingin membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat program ini.

    Berdasarkan ucapan pembentangan belanjawan yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada November 2017 yang lalu, Program KISS ini bakal memberi manfaat kepada 30,000 orang rakyat Selangor. Walau bagaimanapun, setelah diteliti dan dikaji semula sambutan yang menggalakkan ini, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah bersetuju untuk meningkatkan bilangan penerima Program KISS ini dari 30,000 orang kepada 40,000 orang penerima bagi tahun 2018. Perkara ini diumumkan pada Sidang Dewan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2018 yang telah diadakan pada 26 hingga 30 Mac 2018 yang lalu serta keutamaan tetap diberikan kepada kaum ibu yang menepati kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

    Peningkatan bilangan penerima bantuan ini jelas sekali menunjukkan bahawa bantuan sebegini dapat membantu rakyat Selangor berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat disamping dapat menjalankan kehidupan yang sihat serta melahirkan institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera.

Lampiran

Tiada Lampiran.