TANAH ASRAMA YAYASAN SELANGOR

41) TANAH ASRAMA YAYASAN SELANGOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor tetap mahu meneruskan projek pembangunan di atas tanah Asrama Tun dr Ismail dan Toh Puan Norashikin. Mengapakah kerajaan negeri tidak prihatin dengan nasib anak-anak penghuni asrama dan bagaimanakah penempatan mereka bagi meneruskan pelajaran?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dengan nasib anak-anak penghuni asrama. Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Selangor seharusnya dilihat lebih prihatin kerana melaksanakan penempatan semula pelajar di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL).

    Penempatan semula dibuat kerana memandangkan keadaan persekitaran kawasan Asrama yang dirasa kian tidak kondusif kerana semakin dihimpit pembangunan yang dikhuatiri berisiko dari segi faktor keselamatan dan gangguan lain. Selain itu, faktor banyak masa yang terbuang di perjalanan pelajar daripada asrama ke sekolah setiap hari merugikan masa dan tenaga.

    Justeru, atas dasar prihatin, pelan penempatan semula pelajar asrama AYSKL dibuat secara terancang dengan persetujuan ibubapa. Pelajar yang terlibat dengan penempatan semula adalah terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 (2012) dan 4 (2012), sementara pelajar tingkatan 3 (2012) dan 5 (2012) yang terlibat dengan peperiksaan PMR dan SPM pada tahun 2012 kekal tinggal di asrama AYSKL.

    Pelajar yang terlibat dengan penempatan semula diberi pilihan sama ada mahu berulang dari rumah ke sekolah lama atau ke sekolah baru atas pilihan sendiri, ataupun ditempatkan di Asrama Pusat dan Asrama Daerah lain.

    Pelajar yang berulang dari rumah diberikan Biasiswa dan kemudahan tuntutan untuk bayaran kelas bimbingan (tuisyen). Pelajar di Asrama Pusat dan Daerah akan menikmati kemudahan seperti pelajar Yayasan Selangor yang lain dan seperti yang mereka nikmati sebelum ini.

    Semua sekolah yang terlibat dengan program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor merupakan sekolah-sekolah terpilih yang dicadangkan dan diluluskan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan dan sama taraf dari segi kemudahan.

    Semua pelajar yang terlibat dengan penempatan semula masih kekal sebagai pelajar Yayasan Selangor dalam program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor dan akan terus dipantau oleh Pengurusan Yayasan Selangor dari semasa ke semasa. Maka, seharusnya tidak timbul Yayasan Selangor tidak prihatin kepada mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.