Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

114) TANAH PERTANIAN MILIK ANAK SYARIKAT NEGERI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila huraikan jumlah tanah pertanian milik anak syarikat Kerajaan Negeri mengikut jenis pertanian dan saiz

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Gasing, melalui semakan rekod dalam Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) sehingga 22 Julai 2019, terdapat sebanyak 1,458 hakmilik dengan keluasan 13,143.2599 hektar tanah berstatus pertanian yang dimiliki oleh sembilan (9) anak syarikat Kerajaan Negeri dengan pecahan meliputi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) mempunyai 191 hakmilik berkeluasan 6,310.1397 hektar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak 1,060 hakmilik berkeluasan 1,262.4822 hektar meliputi tanah-tanah wakaf daripada pemilik-pemilik asal sebelum ini, diikuti oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang memiliki 63 hakmilik berkeluasan 8.8161 hektar, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak 68 hakmilik dengan keluasan 1,090.8046 hektar, seterusnya Setiausaha Kerajaan Selangor (Perbadanan) (SUK) sebanyak 22 hakmilik berkeluasan 376.6955 hektar, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) pula sebanyak 19 hakmilik dengan keluasan 2,135.2838 hektar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan keluasan tanah 462.0819 hektar merangkumi sebanyak 18 hakmilik, Yayasan Selangor pula sebanyak 13 hakmilik dengan keluasan tanah sebanyak 1,493.1307 hektar dan yang terakhir adalah Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dengan empat (4) hakmilik berkeluasan 3.8254 hektar.

    Untuk pengetahuan Yang Berhormat Bukit Gasing, berdasarkan data yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku anak syarikat kerajaan negeri yang menjadi agensi peneraju pembangunan pertanian di negeri ini, jumlah keseluruhan saiz tanah pertanian yang dimiliki dan  dipajak oleh PKPS serta dibangunkan dengan pelbagai aktiviti pertanian adalah berkeluasan 7,111.911 hektar. Antara aktiviti pertanian yang dijalankan di atas tanah ini adalah meliputi seperti tanaman ladang kelapa sawit, tanaman ladang kontan / jangka panjang dan penternakan ayam serta ikan air tawar yang dilaksanakan menerusi kaedah moden.

Lampiran

Tiada Lampiran.