Tanah Terbiar

101) Tanah Terbiar

Tahun:

Sesi:

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah terdapat cara mengatasi penggunaan tanah terbiar milik kerajaan atau pemaju yang menjadi kegunaan sesuatu pihak yang akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari?

    Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah untuk mengenal pasti tanah-tanah Kerajaan yang boleh dilupuskan secara pemberimilikan sama ada melalui pemberimilikan biasa atau melalui tender terbuka. Selain itu bagi tanah-tanah rizab Kerajaan yang masih belum digunakan bagi tujuan dirizabkan, pelupusan secara Lesen Pendudukan Sementara untuk tempoh setahun atau Pajakan Tanah Rizab untuk tempoh maksimum 21 tahun boleh dipertimbangkan bagi aktiviti yang menyokong dan bersesuaian dengan syarat guna tanah sekeliling. Ini bagi memastikan tanah Kerajaan atau tanah rizab Kerajaan digunakan sebaiknya. Namun kadangkala terdapat bantahan daripada individu atau badan yang menghalang pembangunan dilaksanakan atas faktor pengekalan zoning kawasan yang ditetapkan, walhal penggunaan tanah rizab diluluskan bersifat sementara selagi ia belum dibangunkan bagi tujuan perizaban.

    Manakala bagi tanah milik pemaju yang menimbulkan permasalahan, Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 125 hingga 130 Kanun Tanah Negara sekiranya pelanggaran syarat nyata tanah jelas dilakukan dan tanah dilucuthakan sekiranya tindakan cepat untuk memastikan remedi pelanggaran syarat tidak dilaksanakan oleh pemilik tanah. Walau bagaimanapun terdapat halangan bagi melaksanakan penguatkuasaan ke atas hak milik yang diberimilik sebelum Kanun Tanah Negara atau tanah hak milik yang tidak jelas kategori dan syarat nyata kegunaan tanahnya. Pelucuthakan hanya boleh dibuat setelah membayar apa-apa pampasan yang dipersetujui atau ditentukan di bawah Seksyen 434 Kanun Tanah Negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.