Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

110) TANAH WAKAF

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Semua pemilikan tanah wakaf adalah atas nama MAIS dan hak mutlak adalah MAIS, apakah peranan dan bidang kuasa masjid yang menguruskan tanah wakaf tersebut?

    Bidang kuasa masjid tertakluk kepada Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan

    Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 (Pindaan 2001) iaitu dalam perkara 13(1), “Pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah sesuatu masjid hendaklah membantu pihak MAIS mentadbirkan masjid itu dan mengawal semua tanah wakaf dan tanah perkuburan Islam di dalam kariahnya mengikut Enakmen dan Kaedah-Kaedah ini.”

    Berdasarkan perkara 13 (2) Kaedah yang sama, “Pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah sesuatu masjid hendaklah-

    • Mentadbirkan dan mengawasi semua tanah wakaf dan perkuburan Islam dikariah masjid itu dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan tanah wakaf dan perkuburan itu;
    • Memastikan bahawa tiada kerja pembinaan dilakukan di atas tanah-tanah wakaf dan perkuburan Islam itu tanpa kebenaran bertulis MAIS;
    • mengawasi, memungut dan menyimpan segala hasil wakaf mengikut terma wakaf atau sebagaimana yang diarahkan oleh MAIS;
    • membantu MAIS memajukan tanah-tanah wakaf untuk mendapatkan hasil daripadanya setelah mendapat kelulusan MAIS.”

    Bidang kuasa yang dinyatakan sepertimana di atas tidak sedikit pun mengurangkan kuasa MAIS selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf di Negeri Selangor sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 32 Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999.

    “Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang terkandung dalam mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh sesuatu wakaf Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf sama ada am atau khas yang terletak di dalam Negeri Selangor”

Lampiran

Tiada Lampiran.