Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

205) TANGGUNGAN PBT TERHADAP PERTUMBUHAN POKOK LIAR DI PREMIS PERSENDIRIAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan bahawa keputusan mahkamah dalam kes Ahmad Jaafar bin Abdul Latiff v. DatoÕ Bandar Kuala Lumpur (Civil Appeal No 01(f)-7-04/2013(W) dipatuhi oleh semua PBT di Selangor berkenaan dengan s.101(b)(cc) Akta Kerajaan Tempatan 1976?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kes Ahmad Jaafar bin Abdul Latiff v. Dato’ Bandar Kuala Lumpur adalah berkaitan kes di antara Perayu (Ahmad Jaafar bin Abdul Latif) yang sedang memandu keretanya di Jalan Duta Kuala Lumpur dan tiba-tiba pokok tumbang dan telah menghancurkan keretanya. Melalui kejadian tersebut, Ahmad Jaafar telah mengalami kecederaan serius dan lumpuh dari leher ke bawah. Manakala Responden (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) ialah Pihak Berkuasa Tempatan yang diamanahkan untuk mentadbir bandar Kuala Lumpur di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Ahmad Jaafar telah memfailkan kes terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab yang ditetapkan. Ahmad Jaafar mendakwa bahawa DBKL mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua pokok di sepanjang jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai dipotong atau dikeluarkan mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Melalui kes ini, Yang Arif Hakim telah menetapkan bahawa melalui Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan 1976, bahawa Pihak Berkuasa Tempatan adalah bertanggungjawab untuk menanam, memangkas atau membuang pokok demi keselamatan, kesihatan dan kesenangan awam. Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah didapati bersalah kerana tidak melaksanakan tugas seperti yang telah ditetapkan oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor telah mengambil maklum mengenai keputusan mahkamah dalam kes Ahmad Jaafar bin Abdul Latiff v. Dato’ Bandar Kuala Lumpur (Civil Appeal No 01(f)-7- 04/2013(W) dan sentiasa mematuhi peruntukan yang dinyatakan di dalam Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dari masa ke semasa juga sentiasa memantau dan memastikan pokok liar di kawasan premis persendirian dan kawasan awam sentiasa selamat dan tidak memberi bahaya kepada orang awam. Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor juga bertindak mengikut maklumat yang diperolehi melalui aduan orang awam dan rondaan dari masa ke semasa.

    Tambahan daripada itu juga, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia dan Universiti Putra Malaysia telah menyediakan Polisi Pengurusan dan Pemuliharaan Pokok Negeri Selangor. Polisi ini telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2017 dan dilaksanakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor. Melalui polisi ini, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor akan:

    • Memilih, menanam, menyelenggara dan melupus pokok mengikut amalan arborikultur terbaik;
    • Melaksanakan pengurusan aset dan risiko pokok yang cekap dan selamat;
    • Memastikan pengendalian perlindungan pokok secara berkesan; dan
    • Meningkatkan penglibatan komuniti dalam aktiviti pemeliharaan

    Selain itu, pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah menghantar 12 wakil Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor untuk menghadiri Kursus Pensijilan Arborist Antarabangsa agar pengurusan dan pemuliharaan pokok di Negeri Selangor dapat dilaksanakan secara berkesan. Pelaksanaan polisi ini telah membutikan usaha Kerajaan Negeri di dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan pokok oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor mengikut amalan arborikultur terbaik.

Lampiran

Tiada Lampiran.