Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

297) TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perancangan Kerajaan untuk meningkatkan prestasi tapak pelupusan sampah RDF di Semenyih yang di uruskan oleh Core Competencise Sdn Bhd. Adakah Kerajaan merancang untuk mengambil alih pengurusannya?

    Pihak Core Competencies Sdn. Bhd. (CCSB) telah mempunyai perjanjian konsesi bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selama 30 tahun bermula pada 13 Januari 2004 bagi menjalankan aktiviti memproses sisa pepejal perbandaran boleh bakar (combustible) untuk dijadikan bahan api iaitu Refuse Derive Fuel – Waste To Energy (RRC / RDF – WTE).

    Menurut perjanjian tersebut, pihak CCSB telah memberi jaminan bahawa sebanyak 70% sampah akan dibakar manakala lebihan 30% akan dibuang di Tapak Pelupusan Sg Kembong. Namun demikian, teknologi RDF tersebut seringkali menghadapi masalah teknikal tidak dapat beroperasi sehingga mengakibatkan longgokan sampah yang tidak dapat diproses semakin meningkat.

    Oleh itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan mengenalpasti sebuah tapak pelupusan sanitari baru bagi menyelesaikan masalah tersebut. Melalui inisiatif ini Kerajaan Negeri akan terus memantau prestasi pengoperasian loji RDF oleh pihak CCSB sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.

Lampiran

Tiada Lampiran.