Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

11) TAPAK PELUPUSAN SAMPAH DI SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan semua tapak pelupusan sampah di Selangor dan bekalkan maklumat berikut: PBT yang menggunakannya, keluasan, kapasiti, kapasiti yang telah digunakan, kadar pembuangan sampah (harian/bulanan), tipping fees, dan lain-lain.

    Terdapat lapan (8) tapak pelupusan yang beroperasi di Selangor pada masa ini iaitu:

     

    • Tapak Pelupusan Sanitari Jeram;
    • Tapak Pelupusan Sanitari Tanjong 12;
    • Tapak Pelupusan Terbuka Bkt. Beruntung;
    • Tapak Pelupusan Terbuka Panchang Bedena;
    • Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar;
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil;
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sg Kertas; dan
    • Tapak Pelupusan Sisa Lengai

     

    Tapak Pelupusan Sanitari Jeram dibuka pada tahun 2007 dengan keluasan berjumlah 160 ekar. Tapak ini boleh menerima sebanyak 1,250 tan sisa pepejal sehari dan dijangka mampu untuk menampung sebanyak 7.8 juta tan sisa pepejal sehingga 2016. Namun begitu, melihat kepada perkembangan semasa dengan penerimaan harian yang berganda iaitu sebanyak 2,500 tan sehari, jangka hayat tapak ini berkemungkinan besar tidak akan mampu bertahan sehingga 2016. Sehingga kini, 77% kapasiti telah digunakan iaitu 6 juta tan dari

    7.8 juta tan kapasiti keseluruhan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menggunakan tapak ini ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Yuran tipping yang dikenakan adalah sebanyak RM36/tan.

     

    Tapak Pelupusan Sanitari Tanjong 12 dibuka pada tahun 2010 dan berkemampuan untuk menerima sebanyak 9 juta tan sisa pepejal. Tapak pelupusan berkeluasan 160 ekar ini telah mencapai kapasiti sebanyak 9% penggunaan iaitu sebanyak 800,000 tan sehingga kini. Tapak ini mampu untuk

     

    menampung sebanyak 1,000 tan sisa pepejal sehari dan PBT yang menggunakannya adalah Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Putrajaya, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPK). Yuran tipping yang dikenakan juga sama seperti di Jeram iaitu RM36/tan.

     

    Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar digunakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan keluasan sebanyak 700 ekar. Ianya mampu untuk menampung sebanyak 3,000 tan sisa pepejal sehari dengan jumlah keseluruhan kapasiti sebanyak 36.4 juta tan. Sehingga kini, 25% kapasiti telah digunakan dan kadar yuran tipping yang dikenakan adalah RM49/tan.

     

    Tapak Pelupusan Terbuka Bukit Beruntung yang dioperasikan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengenakan yuran tipping mengikut saiz lori yang digunakan untuk mengangkut sampah. Bagi lori yang berkapasiti di bawah 3 tan, yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM40, lori berkapasiti 3 – 5 tan dikenakan yuran sebanyak RM60 dan bagi lori yang berkapasiti melebihi 5 tan akan dikenakan yuran sebanyak RM90. Kadar pembuangan harian bagi tapak ini adalah sekitar 150 tan dan digunakan oleh MDHS sendiri. Tapak berkeluasan 30 ekar ini telah mencapai 80% kapasiti dari jumlah keseluruhan kapasiti sebanyak

    2.2 juta tan.

     

    Bagi Tapak Pelupusan Terbuka Panchang Bedena pula, sebanyak 50% kapasiti telah digunakan sehingga kini. Jumlah kapasiti yang mampu ditampung oleh tapak ini adalah 2 juta tan sisa pepejal. Ianya dioperasikan oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan mengenakan yuran tipping sebanyak RM25/tan. Berkeluasan 25 ekar, kadar pembuangan harian bagi tapak ini adalah 60 tan.

     

    Bagi Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil yang mempunyai keluasan sebanyak

    145 ekar, tapak ini mampu menerima sebanyak 3.7 juta tan sisa pepejal. Sehingga kini hanya 10% kapasiti yang digunakan dan kadar pembuangan harian adalah sebanyak 250 tan. PBT yang menggunakan tapak ini adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Putrajaya. Yuran tipping yang dikenakan pula adalah sebanyak RM10-30/tan mengikut jenis sisa pepejal.

     

    Seterusnya adalah Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang. Tapak ini berkeluasan sebanyak 27 ekar dan mampu untuk menerima kadar pembuangan harian sehingga 150 tan. Hanya 9% kapasiti yang telah digunakan daripada jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 2.7 juta tan. Tapak ini digunakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kadar yuran tipping sebanyak RM10-30/tan mengikut jenis sisa pepejal.

     

    Tapak pelupusan terkecil iaitu Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sg Kertas pula mampu menerima sehingga 100 tan pembuangan sehari. Dengan hanya

     

    berkeluasan 14.1 ekar, ianya mampu menampung sebanyak 1.1 juta tan sisa pepejal dan sebanyak 14% kapasiti telah pun digunakan sehingga kini. Yuran tipping yang dikenakan bergantung kepada jenis sisa pepejal yang dibuang dan dikenakan caj antara RM10-30/tan. PBT yang menggunakan tapak ini adalah Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

     

    Ringkasan bagi maklumat setiap tapak pelupusan adalah seperti Lampiran A.

Lampiran

Tiada Lampiran.