Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

115) TARAF HIDUP

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kebanyakan pekerja-pekerja ladang di Negeri Selangor terdiri daripada kaum India dan mereka termasuk dalam mereka yang berada di bawah tahap kemiskinan: Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor dalam mengubah taraf hidup mereka terutama generasi kedua di ladang-ladang (anak-anak pekerja ladang)

    Pendidikan merupakan kunci kepada masalah kemiskinan yang dialami oleh  sesebuah keluarga. Melalui pendidikan, rakyat didedahkan dengan peluang-peluang yang dapat membaiki taraf hidup mereka dan seterusnya membolehkan mereka tidak dihanyut oleh arus pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, Kerajaan  Negeri  Selangor mengambil satu inisiatif dengan mewujudkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang. Tujuan tabung ini ditubuhkan adalah untuk memberi bantuan kewangan kepada anak-anak pekerja ladang yang melanjutkan pelajaran ke Kolej Antarabangsa Inpens di Kuala Selangor. Selain itu, tabung ini juga digunakan untuk membantu anak-anak pekerja ladang yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang lain dengan memberi bantuan kewangan yuran pengajian mereka di sana sekiranya mereka belum lagi mendapat pinjaman atau bantuan pendidikan.

     

    Kerajaan Negeri berpendapat bawah salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup keluarga pekerja ladang adalah melalui pendidikan yang sempurna. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri telah menaja anak-anak pekerja ladang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau dalam bidang kemahiran yang bersesuaian.

     

    Dengan pendekatan ini, Kerajaan Negeri yakin anak-anak pekerja ladang yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran dapat memperolehi peluang pekerjaan yang lebih baik supaya dapat membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.