Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

90) TASKA DAN NURSERI KANAK-KANAK

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memberi sokongan kepada para pengusaha taska dan nurseri kanak-kanak yang terjejas akibat pandemik covid19?

    Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap keperluan pengusaha taska yang telah memulakan operasi mereka pada 4 Mei 2020 yang lalu dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak kepada golongan ibu bapa yang bekerja di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang merangka dan mempertimbangkan program bantuan pasca COVID-19 yang bersesuaian dengan peruntukan sedia ada dengan cadangan untuk membekalkan set kelengkapan perlindungan diri (personal protection equipment – PPE) kepada semua pengusaha taska dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri.

    Melalui set kelengkapan PPE yang bakal dibekalkan, pengusaha taska dapat membuat persiapan khusus sebelum menerima kemasukan kanak-kanak di taska selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain giat melakukan proses pembersihan dan sanitasi menyeluruh di premis masing-masing.

    Selain itu, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat dua jenis bantuan telah disalurkan sebagai menzahirkan sokongan kepada pengusaha taska yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Bantuan kepada pengusaha – pengusaha TASKA adalah seperti berikut:

    1. Bantuan Khas Geran Pengurusan Secara One Off TASKA Komuniti (TASKOM) berjumlah RM5,000 bagi setiap TASKOM.
    2. Bantuan Khas kepada Pengusaha Taska Yang Terkesan Secara Langsung Dengan PKP berjumlah RM5,000 bagi TASKA Institusi dan TASKA Tempat Kerja serta RM1,500 bagi TASKA Di Rumah.

      (Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor)

Lampiran

Tiada Lampiran.