Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

226) TASKFORCE KEMISKINAN PERINGKAT DUN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri mahu benar-benar menghasilkan impak mengurangkan beban rakyat miskin dengan mewujudkan taskforce khas mengikut lokaliti di DUN?

    Kerajaan Negeri amat prihatin dalam meringankan beban rakyat terutamanya yang melibatkan golongan miskin. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan/ syor supaya satu taskforce khas diwujudkan mengikut lokaliti di DUN bagi mengurangkan kadar dan jumlah penduduk miskin di Negeri Selangor. Namun begitu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah pun mengambil inisiatif penting bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan di Negeri Selangor sehingga ke akar umbi. Untuk mencapai hasrat ini, satu kaedah pengukuran terhadap kadar kemiskinan perlu diwujudkan serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang terkini perlu dimuktamadkan berikutan peningkatan taraf hidup dan ekonomi semasa yang tidak menentu.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM438,600.00.

    Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor, menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan serta mewujudkan dan membangunkan Sistem Maklumat yang dinamakan Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.

    Kajian ini dilihat berupaya membolehkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti dan merangka dasar baru, program dan peruntukan yang lebih komprehensif untuk membasmi kemiskinan secara efektif, mengenalpasti jumlah sebenar penduduk miskin serta memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan. Manfaat yang diperolehi melalui program-program bantuan ini membolehkan serta memastikan peluang ekonomi dinikmati secara saksama oleh rakyat Negeri Selangor tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih sejahtera, makmur dan berdaya maju.

Lampiran

Tiada Lampiran.