Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

146) TEKANAN AIR RENDAH

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan Kampung Sungai Tekali yang menyebabkan penduduk tidak menerima bekalan air?

    Bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan Kampung Sungai Tekali pihak Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama pihak SYABAS telah menyediakan dua pelan tindakan iaitu :

    • Tindakan Jangka Pendek
    • Tindakan Jangka Panjang

    Tindakan Jangka Pendek

    1. Menggunakan sistem pintasan paip (bypass) di kolam tangki menara bagi menyalurkan bekalan air ke Kampung Sungai Tekali.
    2. Menghantar bekalan air dengan tangki air ke kawasan Kampung SungaiTekali.
    3. Sebanyak tiga puluh (30) buah tangki statik yang berkapasiti 2,727 liter setiap satu telah ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di kawasan Kampung Sungai Tekali. Pemantauan bagi paras air tangki statik juga dilakukan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk adalah sentiasa mencukupi.
    4. Membaiki kolam tangki menara yang mana kolam lama telah rosak dan telah pun siap diperbaiki dan pada masa ini, kerja-kerja pengujian (testing) sedang giat dilakukan dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada hujung bulan Julai 2009.

    Tindakan Jangka Panjang

    • Projek Menaik taraf Sistem Bekalan Air di Kampung Sungai Tekali

    Bagi menyelasaikan masalah secara jangka panjang, satu sistem bekalan air baru perlu dibina untuk Kampung Sungai Tekali.  Untuk tujuan ini, kerja-kerja reka bentuk sedang dijalankan untuk membina tangki simpanan baru berkapasiti 60,000 gelen yang bertujuan untuk menambah simpanan bekalan air ke kawasan Sungai Tekali.  Kerja-kerja ini dijangka dapat disiapkan pada suku ke-empat 2010.  Ia juga melibatkan kerjakerja menaik taraf sistem pengepaman sedia ada dan pemasangan saluran paip air.

    • Projek Pemindahan Air Bersih Dari Kolam Imbangan Semenyih Ke Sistem Agihan Sungai Langat Oleh SYABAS Ibu Pejabat

    Kekurangan tekanan air di Hulu Langat khususnya di Kampung Sungai Tekali adalah kerana kapasiti Loji Rawatan Air Sungai Langat sudah tidak dapat menampung permintaan air yang kian meningkat.  Sebagai langkah mengatasinya, Kerajaan Negeri Selangor melalui SYABAS akan membina sistem baru bagi menyalurkan sumber air dari Loji Rawatan Air Semenyih.

    Projek penyaluran air ini melibatkan kerja-kerja pemasangan paip bergaris pusat 1500mm, yang akan bermula dari Kolam Takungan Desa Putera, Sungai Merab di Sepang melalui Bandar Baru Bangi hinggalah ke Jalan Timur di bandar Kajang yang melibatkan pemasangan paip besi keluli bergaris pusat 1500mm, sepanjang 17.5 km serta pembinaan sebuah rumah pam di Kolam Air Terminal Bandar Baru Bangi.

    Adalah dianggarkan sejumlah 25 juta gelen sehari (113 juta sehari) dapat dipindahkan dari Loji Sungai Semenyih ke Sistem Agihan Sungai Langat (Line 12/1500mm) dan apabila projek ini selesai ia akan memberi manfaat kepada 80,000 keluarga atau 400,000 pengguna di Hulu Langat.

Lampiran

Tiada Lampiran.