Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

63) TENAGA SOLAR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bangunan Kerajaan Negeri mempunyai tenaga Solar?

    Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017 – 2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui. Namun, buat masa ini tiada bangunan Kerajaan Negeri yang mempunyai atau menggunakan tenaga solar. Hal ini kerana, kos pemasangan solar panel untuk satu bangunan menelan belanja yang tinggi dan Kerajaan Negeri berpandangan bagi pelaksanaan pemasangan solar panel ini perlu menggunakan kaedah kerjasama strategik bersama pihak-pihak yang berkepentingan dalam menguruskan teknologi ini.
    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Projek Perintis Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Photovoltaic) di Kampung Orang Asli Sungai Relang dan pemasangan solar panel di bumbung Projek Perumahan Rumah Selangorku, Pangsapuri Puchong Utama yang merupakan salah satu agenda utama dalam Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016 – 2018 ke arah mencapai sasaran pengurangan 45% intensiti pelepasan karbon menjelang tahun 2030.
    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pemasangan solar panel berskala besar di bumbung Bangunan Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kapasiti 500 kiloWatt (kWt).
    Selanjutnya, bagi menjayakan hasrat pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri, satu perbincangan telah diadakan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi cadangan pemasangan solar panel di bangunan-
    bangunan Kerajaan Negeri Selangor dan pihak TNB sedang menjalankan kajian dan akan menyediakan laporan teknikal terperinci berhubung perkara ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.