Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

50) TRANSPORT ORIENTED DEVELOPMENT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan secara terperinci kesemua kajian yang dilakukan dan hasil yang sama sebelum rancangan Transport Oriented Development diwajibkan untuk semua PBT Negeri Selangor.

    Transit Oriented Development (TOD) atau Pembangunan Berorientasikan Transit adalah pembangunan yang menyokong kepada penggunaan pengangkutan awam yang berintensiti tinggi di dalam lingkungan jarak berjalan kaki (walking distance) dari stesen transit dengan pembangunan bercampur dan bangunan pelbagai guna mengandungi aktiviti kediaman, pekerjaan dan tempat membeli belah.

    Dasar Perancangan Pembangunan Berorientasi Transit Negeri Selangor ini adalah sebagai panduan dan asas pertimbangan kepada PBT dalam proses kelulusan kebenaran merancang yang melibatkan cadangan pembangunan berkonsepkan berorientasikan transit. Dasar ini digunapakai bagi stesen-stesen transit yang berasaskan rel seperti Mass Rapid Transit (MRT), Light Rail Transit (LRT) dan Komuter (KTM).

    Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan pemakaian Dasar Pembangunan Berorientasikan Transit Negeri Selangor untuk diterimapakai di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor berkuatkuasa 2hb Mac 2016.

    Terdapat sembilan (9) perkara asas yang perlu diterapkan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pemakaian TOD di Negeri Selangor supaya ianya lebih bersifat inklusif iaitu:-

    1. Pembangunan bercirikan pembangunan bercampur dan aktiviti pelbagai (mixed use)
    2. Pemberian peningkatan intensiti pembangunan (Densiti dan Nisbah Plot)
    3. Keperluan penyediaan unit kediaman mampu milik di zon komersil
    4. Penambahan penyediaan keperluan ruang niaga mampu milik
    5. Penyediaan keperluan laluan pejalan kaki dan basikal
    6. Penyediaan kemudahan masyarakat yang mencukupi
    7. Pengurangan ke atas penyediaan keperluan tempat letak kenderaan
    8. Penyediaan perkhidmatan bas perantara (Feeder Bus)
    9. Menggalakkan bangunan berkonsepkan bangunan hijau (Green Building)

Lampiran

Tiada Lampiran.