Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

44) TRIBUNAL PENGURUSAN STRATA DI BAWAH AKTA PENGURUSAN STRATA 2013

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status Tribunal Pengurusan Strata di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang telah diumumkan berkuat kuasa di Selangor pada 1 Jun 2015 lalu?

    Selaras dengan pewartaan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) pada 1 Jun 2015 di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di Negeri Pulau Pinang melalui pewartaan P.U. (B) 231/2015 (pewartaan tersebut), suatu Tribunal yang dikenali sebagai Tribunal Pengurusan Strata (TPS) akan ditubuhkan dan tertakluk kepada Bahagian IX Akta

    Sebelum Tribunal Pengurusan Strata ditubuhkan, Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perlembagaan Persekutuan tersebut) memperuntukkan bahawa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan hendaklah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri melalui suatu ketetapan terlebih dahulu. Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

     

    “Perkara 80. Pembahagian kuasa eksekutif.

    (1) … (2)…

    (3) Setakat yang sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 membuat peruntukan bagi memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan, undang-undang itu tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri melainkan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan.”

     

    Justeru itu, satu ketetapan (resolusi) Dewan Negeri yang memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota Tribunal Pengurusan Strata di bawah subseksyen 103(1) Akta 757 serta pelantikan Setiausaha, pegawai serta kakitangan Tribunal Pengurusan Strata di bawah subseksyen 104(1) Akta 757 oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan.

     

    Walau bagaimanapun, LPHS hanya menerima draf resolusi daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa sidang DUN Penggal Kedua Negeri Selangor sedang berlangsung dan ketika ini draf resolusi berkenaan masih di dalam semakan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk tujuan semakan lanjut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.