Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

150) UNISEL

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan UNISEL untuk menarik lebih ramai penuntut terutamanya penuntut luar negeri yang secara tidak langsung dapat merancakkan industri pelancongan negeri yang berasaskan pendidikan.

    Berbagai cara sedang dirancang dan dilakukan untuk menambahkan bilangan pelajar dari dalam dan daripada luar negara. UNISEL mensasarkan sebanyak 20% iaitu sebanyak lebih kurang 3,000 pelajar dari jumlah keseluruhan 15,000 pelajar terdiri daripada pelajar asing.

     

    Untuk menarik pelajar luar negara, beberapa agen pengambilan atau recruitment agents  telah dilantik. Agen-agen ini telah dilantik khusus untuk mendapatkan pelajar daripada negara-negara tertentu. Bayaran setelah berjaya mendapatkan pelajar telah ditetapkan. Syarat-syarat pelantikan ada digariskan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara UNISEL dan agen-agen tersebut

     

    Di samping itu, UNISEL juga menjalankan Target Marketing ke beberapa negara tertentu seperti Indonesia dan Iran. Dengan negara Iran, UNISEL telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Iran ke atas semua program yang ditawarkan oleh UNISEL. Bagi negara Indonesia pula, UNISEL telah lama mempunyai hubungan, di mana Universiti telah menubuhkan  sebuah institut iaitu Institut Kerjasama Malaysia Indonesia (IKMI) . Institut ini telah menjalankan kegiatan penyelidikan bersama dan dari hasil hubungan ini, bilangan pelajar dari Indonesia sedang meningkat.

     

    UNISEL juga sedang merancang untuk memperkenalkan skim Pelajar mendapat Pelajar atau student – get -student scheme di kalangan pelajar antarabangsa. Dari segi kegiatan pemasaran Universiti akan melibatkan dengan lebih intensif profesor dan dekan bagi sesuatu program yang ditawarkan.

     

    Beberapa usaha lain juga sedang dijalankan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa iaitu dalam peningkatan pengajaran dalam Bahasa Inggeris bagi semua program yang ditawarkan, melantik pegawai kanan Universiti seperti Dekan daripada negara luar dan juga merancang untuk mengubahsuai asrama dan penginapan yang diurus oleh Universiti supaya lebih kondusif untuk penginapan pelajar-pelajar antarabangsa.     

Lampiran

Tiada Lampiran.