Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

6) UNJURAN SEKTOR EKONOMI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah unjuran sektor ekonomi yang dijangkakan berlaku semasa pasca COVID-19 di Negeri Selangor?

    Sebelum COVID-19 melanda, daya saing Negeri Selangor sebagai sebuah wilayah di dalam ekonomi nasional menunjukkan tren yang sangat memberangsangkan dengan kadar peratusan sumbangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus saban tahun. Tren positif ini menunjukkan secara keseluruhannya Selangor mempunyai kelebihan kompetitif yang antara lain disebabkan oleh kelebihan lokasi, dasar kerajaan atau lain-lain faktor yang berfungsi sebagai penggalak kepada pertumbuhan sektor-sektor berkenaan. Setiap sektor didapati menunjukkan nilai positif kecuali sektor pembinaan dan subsektor utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

    Ini bermakna kadar pertumbuhan kebanyakan sektor (yang merekodkan nilai positif) di peringkat nasional bergerak lebih perlahan jika dibandingkan dengan Negeri Selangor (atau sektor di Selangor tumbuh lebih pantas). Kesemua sektor yang merekodkan nilai positif adalah merupakan sektor utama (leading sectors) untuk Selangor. Sektor pembinaan tidak mempunyai kelebihan kompetitif, dianggap sebagai sektor ketinggalan (lagging sector). Begitu juga dengan subsektor utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi di bawah sektor perkhidmatan.

    Walaupun sebelum WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, kesan terhadap ekonomi telah mula dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Pada bulan April 2020, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia pada tahun ini akan menguncup pada kadar 3.0%. Sehingga kini kesan terhadap ekonomi didapati lebih serius daripada jangkaan awal, hinggakan IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan dunia kepada negatif 4.9% pada bulan Jun 2020. Saluran perdagangan yang terkesan oleh lockdown di Wuhan boleh dianggap sebagai kesan pusingan pertama. Ini kerana, China merupakan ekonomi terpenting di dalam jaringan perdagangan dunia. Malaysia telah menerima kesan langsung di mana pengeluaran domestik telah mula terjejas kerana kesukaran untuk memperoleh bahan input perantaraan yang diimport dari China, lantas eksport negara telah mula terjejas.

    Kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi negara berlaku apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan pada 18 Mac 2020 mula diperkenalkan dan dianggap sebagai kesan pusingan kedua yang lebih serius terhadap ekonomi. Seperti pusingan pertama, gangguan terhadap ekonomi bermula dari kejutan penawaran domestik. Aktiviti pengeluaran bukan sahaja terganggu kerana kegagalan mendapatkan input barangan perantaraan dari China, malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP. Dalam pada itu, kegagalan untuk memperoleh input perantaraan dari EU dan Amerika Syarikat turut berlaku apabila mereka turut melaksanakan lockdown. Kesan pusingan kedua ini memperkuatkan lagi kejutan penawaran di dalam ekonomi.

    PKP turut menyebabkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Penurunan pendapatan individu diterjemah secara langsung kepada penurunan penggunaan swasta di dalam ekonomi domestik yang merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi terpenting sejak kebelakangan ini. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tahun ini akan tumbuh pada kadar di antara julat 0.5% dan -2.0% dengan mengambil kira pakej rangsangan ekonomi kerajaan. Namun BNM mengakui bahawa unjuran tersebut terdedah kepada risiko penurunan yang tinggi disebabkan oleh ketidaktentuan penyelesaian isu pandemik ini. Semakan semula unjuran IMF pada bulan Jun menyaksikan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan pada kadar negatif 3.8%.

    Namun begitu, secara umumnya, KDNK Selangor dijangka tumbuh lebih pantas daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana kelebihan kompetitif terutamanya dimiliki oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih kurang dua pertiga kepada KDNK Selangor. Berdasarkan pertumbuhan KDNK nasional di dalam julat negatif 3.0% sehingga positif 0.5%, ekonomi Selangor dijangka akan tumbuh di antara negatif 1.5% sehingga positif 2.1%. Sebagai persediaan bagi menghadapi kesan akibat pandemik ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan melantik perunding Econsult Consultancy and Training bagi melihat keseriusan impak kepada sektor ekonomi di negeri Selangor dan merangka langkah-langkah bagi mengatasi serta memacu semula pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, pihak perunding telah mengemukakan unjuran pertumbuhan ekonomi negeri Selangor berasaskan kepada jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia di antara julat 0.5% dan negatif 3.0% seperti Jadual 1 di bawah.

    Senario Pertumbuhan KDNK 2020 (%)
    Malaysia Selangor
    Senario A (0.5) 0.50 2.09
    Senario B (-0.5) -0.50 1.07
    Senario C (-1.0) -1.00 0.56
    Senario D (-1.5) -1.50 0.06
    Senario E (-2.0) -2.00 -0.45
    Senario F (-2.5) -2.50 -0.96
    Senario G (-3.0) -3.00 -1.47

         Jadual 1: Unjuran KDNK 2020 pada Harga Malar 2015

    Melihat kepada unjuran tersebut, Kerajaan Negeri yakin campur tangan dasar adalah amat penting untuk mengelakkan kitaran ekonomi dari terus mengalami kesan rantaian menurun, yang mana akan menyebabkan ekonomi terjebak di dalam kemelesetan yang meruncing. Dasar yang bersesuaian mampu membanteras kitaran ekonomi menurun akibat kesan dari interaksi permintaan dan penawaran dan seterusnya dapat mengelakkan dari keruntuhan ekonomi. Kedua-dua permintaan dan penawaran perlu ditingkatkan menggunakan dasar fiskal dan kewangan yang sesuai. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa meneroka peluang dan ruang bagi membantu meringankan bebanan yang dialami oleh rakyat negeri Selangor dan seterusnya memacu semula pertumbuhan ekonomi negeri Selangor pada kadar yang selesa.

Lampiran

Tiada Lampiran.