Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

20) USAHA KERAJAAN NEGERI DALAM MELESTARIKAN PROJEK PERTANIAN DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam melestarikan projek pertanian dalam kalangan generasi muda?

    Kerajaan Negeri telah melancarkan Program Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS) yang pada Mei 2015 tahun lalu, bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi golongan belia. Seramai 35 orang belia yang menjalankan projek- projek pertanian telah berdaftar dan kesemua belia tersebut telah dikenalpasti oleh Jabatan Pertanian. Daripada 35 orang peserta tersebut, seramai 13 pengusaha telah berjaya dipilih untuk menerima insentif bagi mengembangkan lagi projek sayuran, buah dan fertigasi mereka dengan peruntukan sebanyak RM 170,000.00.

     

    Bagi fasa kedua program pula yang dijangka akan dimulakan pada tahun 2016 , akan menumpukan kepada golongan generasi muda yang tidak mempunyai tanah atau kawasan projek tetapi berminat dan mempunyai pengalaman serta berpengetahuan berkenaan dengan projek yang akan mereka laksanakan di atas tanah-tanah milik kerajaan negeri di bawah Program Ladang #SmartSelangor.

     

    Program Usahawan Agro Generasi Muda Negeri Selangor  pada tahun 2016  ini, akan dimulakan dengan penganjuran Seminar Usahawan Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS) Tahun 2016 bagi tujuan menyampaikan maklumat berkenaan peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi di dalam sektor pertanian serta dalam masa yang sama juga boleh dijadikan sebagai wadah untuk mengenalpasti calon peserta yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai Program AGROGEMS 2016 ini.

     

    Selain itu kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian turut merangka program latihan pertanian untuk golongan belia di pusat latihan kelolaan Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Program ini akan dilaksanakan semasa RMK11 bermula tahun 2016. Program latihan yang dirancang adalah seperti berikut:

     

    i)    Program Latihan Belia Dan Usahawan PLKP Tanjong Karang

     

    Program latihan kejenteraan dan teknologi kejuruteraan pertanian terkini diadakan di pusat latihan yang lengkap, yang dapat memberikan pengajaran yang berterusan mengikut musim dan peringkat tanaman. Program ini akan diadakan 2 sesi setiap tahun melibatkan 60 orang belia.

     

    ii)  Program Latihan Belia Tani & Usahawan PLP Kalumpang

     

    Program Pembangunan Belia Tani. akan dilaksanakan 1 sesi setahun ini dijangka mampu menarik minat golongan belia untuk mula mendalami dan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Program ini bakal menyediakan pakej latihan secara menyeluruh bukan sahaja dari aspek teknikal tanaman, bahkan juga melatih golongan belia tani dari aspek aktiviti ekonomi mereka, pengurusan kewangan, pentadbiran sehinggalah ke aspek pemasaran yang dilihat sebagai kelemahan utama golongan belia. Melalui program ini, 10 usahawan belia tani akan dibimbing dan dilahirkan setiap tahun.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.