Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

136) USAHA MEMBASMI KEMISKINAN

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu kemiskinan dan isu kesenjangan pendapatan antara bandar dan luar bandar di Selangor yang sebelum ini diusahakan oleh Program Inisiatif Peduli Rakyat?

    Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dalam usaha memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Dimensi yang diberikan fokus utama oleh Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan adalah merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Namun begitu, bagi mengatasi isu kesenjangan atau ketidakseimbangan pendapatan di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan Negeri melihat bahawa langkah meneruskan kesinambungan “peduli rakyat” melalui pelaksanaan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merupakan penyelarasan yang tepat dalam merapatkan jurang pendapatan rakyat di bandar dan di luar bandar.

    Sebagai contoh, Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi seperti Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Nelayan dan Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan serta pelbagai lagi diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam mengimbangi pertumbuhan sosial dan ekonomi di antara bandar dan luar bandar. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    Kerajaan Negeri juga sedar bahawa kesenjangan pendapatan di antara bandar dan luar bandar merupakan salah satu punca penghijrahan golongan generasi muda ke kota. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan meneruskan dan memperkukuh program-program pembangunan sosio ekonomi khususnya di kawasan luar bandar dalam memastikan pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi luar bandar sejajar dengan perkembangan semasa yang membolehkan golongan ini memajukan diri di tempat lahir sendiri. Namun demikian, pada masa yang sama, golongan yang tinggal di kawasan bandar juga tidak ketinggalan untuk dibantu dalam memastikan tidak wujud jurang pendapatan yang besar di antara bandar dan luar bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.