Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

189) USAHA MENGATASI KESESAKAN JALAN RAYA DI KAWASAN BANDAR & PINGGIR BANDAR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan setuju bahawa punca utama kesesakan jalan raya di kawasan- kawasan berkenaan ialah kerana kekurangan sistem pengangkutan awam yang efisyen (sepertiLRT) dan kerana terlampau banyak lampu isyarat serta menggunakan lampu isyarat bodoh.

    Kesesakan jalan raya sering berlaku di kawasan padat terutamanya di kawasan bandar. Namun, pada waktu-waktu tertentu seperti musim perayaan, kawasan luar bandar turut mengalami kesesakan apabila penduduk bandar mulai pulang ke kampung halaman.

    Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Antaranya adalah keadaan jalan raya yang tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak pada satu-satu masa. Selain itu, aktiviti penyelenggaraan jalan turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya apabila kerja-kerja membaik pulih jalan raya yang rosak dilaksanakan. Ia menyebabkan laluan kenderaan menjadi lebih kecil dan sempit sehingga kenderaan yang melalui kawasan tersebut terpaksa bergerak secara perlahan-lahan.

    Kesesakan jalan raya juga didorong oleh pertumbuhan industri automobil yang pesat dan kemampuan rakyat membeli kenderaan. Jumlah kenderaan semakin meningkat sekaligus penggunaan kenderaan persendirian yang tinggi sebagai pengangkutan utama rakyat. Di samping itu, perkhidmatan bas dan teksi yang kurang efisyen menyebabkan kurangnya keyakinan masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam sedia ada.

    Sehubungan dengan itu, lampu isyarat yang banyak bukanlah penyebab utama kesesakan jalan raya kerana tujuan pemasangan lampu isyarat adalah untuk mendidik dan mendisiplin pengguna jalan raya agar lebih berhemah. Sikap dan toleransi pengguna jalan raya terutamanya pemilik kenderaan persendirian yang lebih berhemah semasa memandu mampu mengurangkan kadar kemalangan mahupun kesesakan di sesuatu tempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.