Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

17) USAHA PENCEGAHAN DENGGI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri meneliti dan memanfaatkan teknologi baru dalam menangani permasalahan denggi? Sila nyatakan teknologi tersebut.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan menangani masalah denggi di Negeri selangor melalui pendekatan aktiviti kesedaran dan Pendidikan kesihatan kepada pelajar-pelajar sekolah iaitu di peringkat Pra Sekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan Cina dan India, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta telah diberikan.

    Kerajaan Negeri Selangor percaya dengan usaha mendidik pelajar-pelajar sekolah ini dapat mengubah sikap dan pemikiran masyarakat dalam jangka masa panjang agar sentiasa mementingkan kebersihan dan memastikan kawasan persekitaran mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes seterusnya dapat mengurangkan kes denggi di Negeri Selangor.

    Selain itu juga, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan telah memanfaatkan pelbagai teknologi baru di dalam menangani masalah denggi di Negeri Selangor. Antara teknologi yang digunakan adalah seperti berikut:

    i. Penggunaan Nyamuk Gajah (Toxorhynchites)

    MPSJ sedang menjalankan kajian ke atas keberkesanan menggunakan Nyamuk Toxo untuk mengawal populasi nyamuk aedes. Kajian ini melibatkan usahasama dengan pihak USM. Jentik-jentik Nyamuk Toxo yang dibiakkan akan memakan jentik-jentik nyamuk aedes sekaligus mengurangkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi pembawa kepada demam denggi. Buat masa ini 2 tapak kajian telah dikenalpasti dan dilaksanakan iaitu di Kg Sri Aman dan Pangsapuri Sri Tanjung, USJ 16. Hasil daripada kajian ini telah menunjukkan keputusan yang positif di dalam mengurangkan kes denggi di kawasan MPSJ.

    ii. Alat Perangkap Magnetik (Mosquito Magnet)

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan di dalam tindakan mengkaji keberkesanan penggunaan alat perangkap magnetik iaitu Mosquito Magnet. Alat ini berfungsi dengan mengeluarkan karbon dioksida yang akan menarik perhatian nyamuk untuk datang dan seterusnya terperangkap di dalam alat tersebut. Kajian ini akan dijalankan dengan kerjasama pihak MBSA.

    Selain itu juga, Kerajaan Negeri juga akan mengkaji teknologi-teknologi yang digunakan di luar negara serta pengalaman negara lain dalam menangani isu denggi sebagai contoh, Taiwan telah menggunakan teknologi air laut untuk menyiram kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk dan di dapati ianya berkesan.

Lampiran

Tiada Lampiran.