Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

104) USAHAWAN DAN INDUSTRI DESA DAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan usahawan dan industri yang dikembangkan melalui desa dan kampung tradisi.

    Buat masa ini tiada sebarang bantuan khusus dari Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor bagi tujuan berkaitan pengembangan usahawan dan industri. Walau bagaimanapun, di bawah Vot P01 – 02003 Pembangunan Ekonomi Kampung Tradisi dan Vot P01 – 02004 Program Pembangunan Desa beberapa program yang menjurus ke arah melahirkan usahawan yang berdaya maju dari aspek kewangan dan ekonomi serta pembangunan modal insan telah dilaksanakan.

    Kerajaan Negeri sangat komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya di desa (Kampung Tradisi). Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor: Kursus Kemahiran Jangka Pendek telah dilaksanakan.

    Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan serta tambah nilai dari segi kemahiran, ilmu pengetahuan yang berkaitan kepada belia dan masyarakat di luar bandar yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal. Pelaksanaan program ini juga dapat memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Bagi tahun 2015 dan 2016, Program tersebut telah dilaksanakan secara berasingan bertermpat di INPENS International College dan di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September. Bagi tahun 2017, program ini telah dilaksanakan di dua (2) Inkubator sedia ada iaitu di Inkubator Sabak Bernam dan juga Inkubator Meru, Klang.

    Selain itu melalui Program Karnival Kampungku Kesayanganku (3K), Kerajaan Negeri memberikan peluang dan ruang kepada peniaga setempat serta usahawan kampung untuk memperkenalkan dan memasarkan produk-produk buatan mereka mereka sepanjang karnival berlangsung.

    Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pembinaan sembilan (9) buah Dataran Niaga yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.35 juta di setiap daerah bertujuan untuk menaiktaraf tapak-tapak pasar malam sedia ada dan menjadi medan untuk memasarkan produk-produk desa.

Lampiran

Tiada Lampiran.