Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

98) USAHAWAN MUDA

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan muda berniaga?

    Kerajaan Negeri Selangor senantiasa meletakkan pembangunan usahawan sebagai agenda utama dalam halatuju pembangunan Negeri Selangor bagi memartabatkan usahawan-usahawan di negeri ini.  Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan peruntukan kewangan, insentif perniagaan dan program keusahawanan melalui HIJRAH Selangor dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Negeri Selangor. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan sebagai agenda utama telah merancang insentif dan program-program yang boleh melonjakkan pembangunan usahawan-usahawan mikro.  Sehingga kini, sebanyak RM3.4 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut. Sebanyak RM1.7 juta telah dibelanjakan bagi bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS). Manakala sebanyak RM200,000.00 telah dibelanjakan untuk latihan keusahawanan dan RM1.07 juta telah dibelanjakan bagi tujuan mempromosikan produk-produk usahawan melalui penganjuran karnival usahawan serta penglibatan di dalam ekspo tempatan dan bertaraf antarabangsa. Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri melalui HIJRAH Selangor, telah memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan pinjaman modal perniagaan untuk usahawan-usahawan kecil. Sehingga kini,  HIJRAH Selangor telah memperolehi lebihan pulangan sebanyak RM44 juta yang dijadikan pusingan semula pinjaman kewangan dan 25,562 orang telah menerima manfaat ini.   Kerajaan Negeri telah merangka bajet sebanyak RM23 juta dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi pelan jangkamasa 5 tahun bagi memampankan lagi industri usahawan mikro. Bajet ini adalah untuk menjalankan program keusahawanan bagi menggalakkan serta melahirkan usahawan-usahawan yang berkaliber dan berdaya saing di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor juga mengambil inisiatif menyediakan tapak/platform perniagaan untuk para usahawan seperti premis perniagaan di Uptown Shah Alam, Pasar Seri Seksyen 13 dan 16. Caj sewa yang dikenakan amat berpatutan berbanding premis perniagaan lain.  Ini bagi memastikan peniaga mendapat margin keuntungan yang maksimum serta dapat menawarkan harga yang terendah kepada pelanggan. Seterusnya,  program-program 2016 yang dijalankan bagi menyokong dan membantu usahawan di Negeri Selangor adalah seperti berikut:

     

    1. DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

    Kerajaan Negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan memberikan bantuan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap. Fokus Pembangunan Usahawan adalah untuk memberi bantuan kepada pengusaha mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor untuk membantu usahawan-usahawan Industri Mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak. Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Skop bantuan yang diberikan melalui Dana Usahawan Mikro Selangor adalah seperti berikut:

     

    • Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;

     

    • Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf);

     

    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;

     

    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan

     

    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di negeri Selangor.
    1. PAMERAN/EKSPO

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di Negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran. Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menerima jemputan untuk menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor. Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa. Usahawan yang paling berjaya pada tahun 2016 adalah pada pameran MIHAS yang berlangsung pada 30 Mac – 2 April 2016, produk kerepek seaweed jenama Teego daripada syarikat Inspire Human Capital Development Sdn Bhd telah memperolehi kontrak pembekalan ke tiga buah negara iaitu Dubai, Jeddah dan Jepun yang bernilai RM790,000.00.

     

    • KARNIVAL/FESTIVAL USAHAWAN

    Seterusnya, 9 siri karnival Mini Mega Sale di peringkat PBT telah dirancang untuk tahun 2016. Setakat ini program ini telah diadakan di 2 PBT iaitu di Hulu Selangor dan Kuala Langat. Selebihnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Karnival ini bukan sahaja fokus kepada peniaga, bahkan penduduk tempatan juga turut mendapat faedah dengan mendapatkan pilihan barangan dengan harga yang rendah dan berpatutan. Dalam pada itu, terdapat karnival usahawan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bagi mempergiatkan lagi ekonomi Negeri Selangor dan para usahawan khususnya. Antara karnival yang telah berlangsung adalah Selangor Food Mega Festival yang telah mencatatkan jualan sebanyak RM2.3 juta, Festival Ramadhan (FESTIRA) 2016 telah mencatat kutipan anggaran melebihi RM3 juta yang telah berlangsung di 4 lokasi iaitu Stadium Sungai Besar (Sabak Bernam), Stadium Malawati (Shah Alam), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, SACC Mall (Shah Alam) dan Kompleks PKNS (Shah Alam).

     

    1. KURSUS/LATIHAN

    Selain itu, bagi usahawan di peringkat permulaan, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan tentang bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan.

     

    1. PROGRAM PENINGKATAN KEUPAYAAN REKA BENTUK PEMBUNGKUSAN PRODUK USAHAWAN NEGERI SELANGOR (4P)

    Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri telah mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan.

    1. PROGRAM HIJRAH SELANGOR

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015. Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu. Sehingga kini sebanyak 25,562 peminjam yang telah menerima manfaat daripada program ini.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.