Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

2) USAHAWAN MUDA

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan usahawan khususnya dari golongan anak muda?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah merangka pelbagai program yang merangkumi aspek-aspek penting dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat Program-program ini disasarkan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan anak muda. Program-program yang dilaksanakan meliputi aspek promosi, latihan, bantuan peralatan dan peningkatan teknologi. Program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS.  Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor atau yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18-55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    ii. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.  Program bantuan ini  terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

    iii. Pinjaman Mikrokredit HIJRAH Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015.  Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010.  Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1-4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    iv. KO-HIJRAH Selangor

    Agensi ini menyediakan platform jualan dan pemasaran produk usahawan di kedai serbaneka KO-HIJRAH Mart. Syarat kemasukan adalah minimum bagi memudahkan usahawan kecil menjual produk mereka.

    Syarat penyenaraian produk di KO-HIJRAH Mart adalah seperti berikut:

    • Terbuka kepada usahawan yang menghasilkan produk;
    • Tiada had kuantiti produk;
    • Tempoh kredit 4 minggu;
    • Produk akan di pasarkan ke Ko-HIJRAH mart dan atas talian seperti Ko-HIJRAH Mall, SELDEC dan Food Panda.

     

    Kadar sewaan adalah mengikut kategori seperti berikut:

    • Barangan kering – RM600.00/setahun
    • Barangan kerepek – RM600.00/setahun
    • Barangan sejuk beku – RM600.00/setahun

     

    v. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE)

    Program ini bertujuan untuk membantu anak muda untuk mendapatkan lesen memandu bagi tujuan menjana ekonomi. Program ini dijalankan selaras dengan trend gig economy yang semakin meluas di Malaysia. Gig Economy merupakan system pasaran yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak pekerjaan tanpa bekerja sepenuh masa. Ini bermakna segmen ini lebih fleksibel dan dapat membuka ruang pekerjaan kepada suri rumah dan individu yang ingin mencari pendapatan tambahan. Contoh pekerjaan yang melibatkan gig economy seperti pemandu GRAB, penghantaran Food Panda dan lain-lain lagi.

    vi. Selangor E-Supply Chain (SELDEC)

    Rentetan program RIDE peserta program tersebut dijadikan sebagai medium mobilasi produk bagi program Selangor E-Supply Chain (SELDEC).  Di mana SELDEC merupakan platform jualan barangan pengguna secara atas talian dan peserta RIDE merupakan saluran penghantaran kepada pengguna.

    vii. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan BPU, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

    viii. Program kerjasama bersama pihak swasta

    Kerajaan Negeri juga ada menjalankan kerjasama dengan pihak swasta bagi medium penghantaran GRAB pada program E-Kitchen pada bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu yang lalu.  Program E-Kitchen merupakan program jualan atas talian yang menjual makanan bermasak untuk juadah berbuka puasa.  Manakala program Jualan raya bersama Shoppee menjemput usahawan negeri Selangor yang mempunyai kedai fizikal menyertai platform online Shoppee menjual barangan persiapan perayaan bagi umat Islam.

    Selain program-program tersebut, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan. Memandangkan perniagaan meliputi pelbagai sektor seperti pertanian, makanan, perkhidmatan, kesihatan dan laian-lain, Jawatankuasa ini akan sentiasa meneroka peluang serta kaedah baru ke arah mewujudkan ekosistem perniagaan IKS yang mampan serta menyumbang kepada hasil ekonomi negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.