Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

84) Wabak COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukkan yang telah diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor?

    Di dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negeri Selangor, Kerajaan Negeri sentiasa membantu dan menyokong apa jua tindakan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan rantaian Covid-19 berakhir di negeri Selangor. Di antara langkah awal yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah melaksanakan program saringan komuniti Covid-19 di kawasan zon merah di seluruh negeri Selangor. Sebanyak 5,433 saringan fasa 1 telah dijalankan dengan menelan keseluruhan belanja sebanyak RM1.6 juta. Saringan fasa 2 diteruskan lagi dengan mensasarkan golongan-golongan berisiko seperti rakyat negeri Selangor yang pulang dari Sabah dan sebagainya. Peruntukan bagi program saringan fasa 2 ini berjumlah RM1.36 juta dan akan diteruskan pelaksanaan sehingga tahun 2021.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan pelitup muka kepada pelajar-pelajar sekolah di seluruh Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan semua penjawat awam negeri Selangor bagi mencegah penularan wabak ini di premis kerajaan dan memastikan agar setiap pihak yang terlibat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Bagi tujuan tersebut sebanyak RM5.8 juta telah diperuntukkan.

    Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan kit pembasmi Covid-19 kepada 854 taska berdaftar di negeri Selangor yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM690,000.00 bagi memastikan kesemua taska berdaftar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Lampiran

Tiada Lampiran.