Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

130) WARGA ASING

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam mengatasi peningkatan jumlah warga asing yang datang bagi mencari kerja dan sebagainya sehingga menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan buat warga tempatan?

    Negeri Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai tahap kepesatan ekonomi yang tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Atas faktor ini antara lain yang menyebabkan kemasukan warga asing banyak bertumpu di kawasan bandar-bandar di Negeri Selangor bagi tujuan mendapatkan peluang pekerjaan dan menjalankan aktiviti ekonomi di samping ia memberi kesan persaingan pekerjaan antara warga asing dan warga tempatan. Persaingan ini juga secara tidak langsung memberi impak kepada kesejahteraan sosial dan keselamatan di dalam negeri.

    Usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam mengatasi peningkatan warga asing yang datang untuk tujuan bekerja di negeri ini memerlukan kerjasama dan usaha dari pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara terus dengan warga asing di Malaysia seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). JIM sentiasa komited dan konsisten dalam menjalankan tugas-tugas yang berkaitan hal ehwal Imigresen terutamanya melibatkan warga asing dan warga tempatan. Isu dominasi warga asing yang bekerja di Malaysia sebenarnya bukan isu yang baharu. Ini kerana kemasukan warga asing di Negeri Selangor khususnya disebabkan faktor menarik (pull factor) iaitu kepesatan ekonomi dan peluang pekerjaan yang banyak di Negeri Selangor.

    Faktor ini menyebabkan warga asing sentiasa berusaha mendominasi apa jua bidang pekerjaan yang ada termasuk bidang yang mempunyai unsur 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) yang kurang dipelopori oleh warga tempatan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berganding bahu dengan JIM dalam usaha memantau supaya warga asing sentiasa patuh akan undang-undang berkuatkuasa di dalam negara ini.
    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri dengan dengan kerjasama JIM telah membuat suatu garis panduan khususnya ke atas majikan supaya mengambil pekerja warga asing mempunyai suatu pas yang sah dan berlaku. Dalam masa yang sama juga majikan boleh memberi keutamaan kepada warga tempatan terlebih dahulu dalam apa jua sektor pekerjaan sebelum dibuka kepada warga asing mengikut justifikasi bidang pekerjaan yang diperlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.