Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

196) WARISAN BUDAYA BANGSA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan untuk mengekalkan dan mengangkat warisan adat budaya bangsa?

    Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sentiasa berusaha berterusan dalam melaksanakan program-program penyelidikan, pelestarian dan pembangunan warisan di negeri ini. Identiti sesuatu bangsa, dikenalpasti dari bahasa pertuturan dan budayanya. Kajian-kajian dan pencerakinan melalui berbagai kaedah telah, sedang dan akan diteruskan untuk proses mengenalpasti dan seterusnya memartabatkannya. Walau bagai mana pun kewujudan masyarakat majmuk di Selangor telah menjadikan elemen-elemen di atas bercampur baur dan sukar untuk dikenalpasti. Peringkat pertama pertembungan ini berlaku apabila kaum-kaum dari luar Semenanjung Tanah Melayu mulai berhijrah dan menetap di Negeri Selangor iaitu pada zaman sebelum dan selepas Peang Dunia Kedua. Peringkat kedua ialah selepas kemerdekaan dimana berlaku penhghijrahan kaum-kaum dari negeri-negeri didalam semenanjung sendiri, disebabkan tarikan peluang pekerjaan yang terbuka luas di Negeri Selangor.

    Untuk makluman, sehingga kini bahasa pertuturan di Selangor adalah menggunakan Bahasa Melayu standard, walau pun terdapat amalan menggunakan bahasa kaum masing-masing mengikut daerah-daerah tertentu. PADAT juga menyedari akan berlakunya kepupusan loghat-loghat bahasa kaum-kaum yang ada di Selangor, justru sedang berusaha bagi mencari kaedah penyelesaiannya.

    Budaya yang didefinasikan sebagai amalan hidup sesuatu kaum meliputi ruang lingkup yang amat luas. Budaya termasuk “budaya tampak” dan “budaya tidak tampak”. Dasar kita adalah menerima semua budaya setiap kaum untuk diamal dan disebar-luaskan dimana tidak bertentangan dengan akidah dan budaya timur. Sehingga kini PADAT telah banyak menjalankan kajian-kajian diseluruh daerah di negeri ini, yang merangkumi bidang-bidang budaya tampak seperti adat-adat yang melibatkan perkahwinan, beranak, kematian dan kenduri-kendara, seterunya budaya tidak tampak seperti muzik, tarian, puisi, syair, senibina dan sebagainya. Kedua-dua jenis budaya ini apabila kita rungkai ianya akan meliputi makanan, pakaian, kepercayaan dan bagaimana ianya berasimilasi diantara kaum serta penyesuaiannya dengan alam persekitarannya.

    Pihak PADAT telah pun mengambil inisiatif kearah mewujudkan satu kertas “Dasar Kebudayaan Negeri Selangor” yang dapat memartabatkan identiti ini hingga keperingkat antarabangsa. Buat peringkat awalnya “Konvensyen Identiti Selangor” telah diadakan pada 2011dengan fokusnya berkaitan bidang-bidang makanan, kebudayaan dan senibina. Hasil dari konvensyen ini telah diangkat keperingkat Kerajaan Negeri pada tahun 2014 dan diistiharkan sebagai identiti Selangor iaitu bagi baju kebaya labuh Selangor, seni telepok dan seni kelingkan.

     

    Bagi program pembudayaan, mulai tahun lepas PADAT telah menganjurkan Festival Masakan dan Makan Selangor, Festival Seni Silat, Festival Senitari dan Program Senada yang diadakan setiap malam minggu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Kemuncaknya selaras dengan inspirasi Kerajaan Negeri, PADAT akan menganjurkan 3 program serentak pada bulan Disember yang akan datang. Program tersebut ialah Konvensyen Identiti Selangor, Festival Alam Melayu dan penubuhan “Shah Alam Modern Arts Gallery”. Program ini akan menggabungkan pengamal budaya dan kraf seluruh Selangor, Malaysia dan Nusantara yang serumpun. Melalui program ini, PADAT akan menyediakan tapak untuk penggiat seni dan budaya berkarya sambil membuat jualan di 150 buah gerai-gerai sementara dan 20 buah gerai tetap.

    Pelan jangka panjang PADAT adalah untuk menjadikan kompleks Muzium Sultan Alam Shah, sebagai hub kesenian dan kebudayaan serta memberikan tapak untuk pengusaha-pengusaha memasarkan produk-produknya. Disamping dapat  melestarikan warisan ini, ianya akan diangkat sebagai salah satu pusat pelancongan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.