Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

80) WIFI SMART SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi perkhidmatan Wifi Smart Selangor di kawasan luar bandar.

    Sejak inisiatif Wifi Smart Selangor dimulakan pada bulan September tahun 2015, sudah ada banyak peningkatan prestasi perkhidmatan di mana liputan tambahan di kawasan luar bandar diberi keutamaan. Namun begitu, liputan Wifi Smart Selangor di kawasan luar bandar masih belum mencapai sasaran optimum. Ini disebabkan tiadanya infrastruktur jaringan teras (Core Network Infrastructure) untuk sistem komunikasi jalur lebar yang cukup hampir dengan kawasan-kawasan tersebut, walau pun pihak SMARTSEL di bawah MBI selaku pengurus projek ini menggunakan khidmat dari Telekom Malaysia Berhad (TM) yang mempunyai rangkaian teras dan jalur lebar berkelajuan tinggi yang luas dan terbesar di Malaysia.

    Dalam hal ini, pihak SMARTSEL-MBI dan TM sentiasa berusaha memperluaskan liputan di kawasan luar bandar dengan mengagihkan Access Point (AP) di tempat yang disasarkan disamping mengikut rangkaian teras yang terdekat. Dalam masa yang sama, pihak SMARTSEL, anak syarikat MBI yang mengurus jaringan ini bagi pihak Kerajaan Negeri, sudah mula membangunkan rangkaian digital sendiri khusus untuk Selangor termasuk memasang rangkaian teras ini di luar bandar mengikut fasa. Pelaksanaan ini akan membolehkan liputan jalur lebar yang meluas di kawasan luar bandar dalam beberapa tahun terdekat ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.