Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

236) YAYASAN SELANGOR

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri telah menjual bangunan Asrama Yayasan Kuala Lumpur di Kg Pandan. Adakah Yayasan Selangor masih melaksanakan dasar pengambilan pelajar- pelajar lepasan UPSR untuk ditempatkan di Asrama Yayasan Selangor.

    Yayasan Selangor tidak menjual Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur di Jalan Kg. Pandan. Tapak Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur itu akan dimajukan seiring dengan pembangunan di kawasan sekitar dan sebagai gantinya akan dibina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mampu menempatkan 1,000 orang pelajar berbanding 400 orang pelajar yang ditempatkan di AYSKL. Pelajar-pelajar AYSKL yang bersekolah di sekitar Petaling Jaya terpaksa berulang alik setiap hari dari Jalan Kg. Pandan menyebabkan pelajar kepenatan dan banyak masa terbuang di atas jalan raya yang kebiasaannya mengalami kesesakan trafik yang teruk. Pelajar sesi petang mengalami situasi yang lebih buruk kerana terlepas waktu solat Maghrib dan terpaksa berbuka puasa di dalam bas ketika bulan Ramadhan. Kos diesel dan kos penyelenggaraan bas juga meningkat dan membebankan Yayasan Selangor.

     

    Kita perlu melihat akan kepentingan dan keselesaan pelajar di mana Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur sudah tidak sesuai dan kondusif untuk pelajar tinggal. Sebelum ini, beberapa sekolah di Kuala Lumpur turut dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai dan tapak lama sekolah telah dimajukan. Contoh sekolah-sekolah yang telah dipindahkan ialah: 1) Bukit Bintang Girls School di Bukit Bintang telah dipindahkan ke Cheras. Tapaknya telah dibina pusat membeli-belah Pavillion. 2) Sekolah Sri Putri di Jalan Kolam Air telah dipindahkan ke kawasan yang lebih kondusif dan sesuai di Cyberjaya 3) SMK  St. Mary telah dipindahkan dari Jalan Ampang ke Taman Selayang Utama bersebelahan Lebuh raya MRR2. Tapak lama sekolah yang terletak di Segi tiga

     

    Emas Kuala Lumpur telah dibangunkan dengan pembinaan servis apartment. Dari segi sejarah pula, keputusan perpindahan Asrama Tun Dr. Ismail dari Persiaran Gurney ke Jalan Kg. Pandan dengan memberi laluan kepada AKLEH telah membuktikan keputusan untuk membangunkan semula Kg. Pandan adalah merupakan satu keputusan yang tepat, bijak dan wajar.

    Yayasan Selangor masih melaksanakan dasar pengambilan pelajar lepasan UPSR untuk ditempatkan di Asrama Yayasan Selangor Klang dan Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam. Kuota yang diperuntukkan untuk kedua-dua asrama ialah 165 orang bagi pengambilan Tingkatan 1/2014.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.