Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

89) ZOO NEGARA

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Zoo Negara adalah sebuah pusat pelancongan bertaraf dunia yang berada di Negeri Selangor. Apakah sumbangan Zoo Negara yang berada di dalam Negeri Selangor secara langsung kepada ekonomi dan sumber pendapatan negeri?

    Zoo Negara yang telah berusia hampir 47 tahun, merupakan antara produk pelancongan
    popular dan menjadi pilihan pengunjung sama ada dalam dan luar negara. Zoo Negara
    bukan sekadar produk pelancongan semata-mata bahkan merupakan lokasi bagi kajian,
    penyelidikan dan pembelajaran terutama berkaitan bidang zoology. Maka tidak hairanlah
    Zoo Negara amat dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat
    antarabangsa.
    Sumbangan dan peranan Zoo Negara kepada ekonomi dan pendapatan negeri
    Selangor perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya berbentuk aliran tunai
    semata-mata. Dengan reputasi kukuh selama hampir 47 tahun kedatangan pelancong
    dalam dan luar negara sangat menggalakkan. Terletak di dalam kawasan pentadbiran
    Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), ia turut berperanan sebagai pelengkap
    kepada pakej pelancongan setempat yang melibatkan beberapa destinasi lain seperti
    Bukit Tabur, FINAS dan beberapa kawasan pelancongan lain.
    Ini telah memberikan kesan langsung kepada pembangunan dan kepesatan sektor
    pelancongan di negeri Selangor. Seperti produk-produk pelancongan lainnya, dengan
    reputasi yang dibina, ia telah menarik kemasukan pelancong ke negeri ini. Ini
    memberikan impak kepada penawaran dan perkhidmatan hotel, peruncitan, borong,
    restoran dan ruang niaga.
    Selain itu, kedatangan pelancong terutama dari luar negara telah menggalakkan tukaran
    wang asing, cukai barangan dan perkhidmatan, menggalakkan perkembangan teksi dan
    kereta sewa. Walaupun sumbangan Zoo Negara tidak dapat dilihat secara langsung,
    tetapi dengan penjenamaan dan reputasi kukuh serta promosi yang berterusan, Zoo
    Negara akan terus menjadi nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan pesat
    sektor pelancongan di negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.